MENARA Eiffel. FOTO AFP
MENARA Eiffel. FOTO AFP
AFP

Paris: Tarikan utama bandar raya ini, Menara Eiffel dibuka semula pada Khamis, selepas ditutup sejak tiga bulan akibat Covid-19.

Bagaimanapun, sebelum 1 Julai, pengunjung dibenarkan menaiki menara berkenaan hanya dengan menggunakan tangga.

Mereka tidak boleh menggunakan lif bagi memastikan penjarakan sosial untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Buat masa ini, tingkat paling atas di menara itu masih ditutup kepada pengunjung.

Penutupan menara itu sebelum ini adalah paling lama sejak Perang Dunia Kedua.

Apabila dibuka semula, ia mewajibkan semua pengunjung memakai pelitup muka, menurut laman web rasminya.

Pengunjung dibenarkan melawat mulai jam 10 pagi dan ia simbolik pembukaan semula pelancongan di negara berkenaan.

Mereka yang berminat untuk mengunjungi menara itu sudah boleh membeli tiket menerusi platform dalam talian bermula 18 Jun lalu.

"Bagi memastikan pengunjung yang naik dan turun tidak bertemu antara satu sama lain, mereka akan dibahagikan kepada bahagian timur dan barat menara.

"Bahagian puncak menara bagaimanapun masih ditutup kepada pengunjung kerana lif yang digunakan bersaiz kecil," kata operator menara berkenaan.

Dalam kenyataan, tanda pada laluan di kawasan menara juga dibuat bagi memudahkan pengunjung menjarakkan diri antara satu sama lain.

Menara dibina pada 1889 itu menerima tujuh juta pengunjung setiap tahun dengan sebahagian besarnya pelancong luar negara.

Perancis antara negara tumpuan pelancong terjejas teruk akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 3:42 PM