BERNAMA

Singapura: Singapura merekodkan pertambahan 447 kes baharu Covid-19, kelmarin.

Ia peningkatan harian tertinggi dengan jumlah keseluruhan melonjak kepada 3,699 kes pada hari sama di republik itu.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, daripada jumlah itu, 409 kes membabitkan pemegang permit kerja dengan 404 yang tinggal di asrama dan lima di luar asrama.

Jumlah kes baharu dalam kalangan pemegang permit kerja meningkat dengan ketara, daripada purata 48 kes sehari pada minggu sebelumnya kepada 260 kes sehari minggu lepas.

“Ini berikutan usaha berterusan untuk melakukan ujian terhadap pekerja. Kebanyakan mereka tinggal di asrama,” kata MOH dalam satu kenyataan.

Empat rakyat Malaysia antara kes baharu yang ada kaitan dengan kluster Tech Park Crescent, manakala tiga lagi diklasifikasikan sebagai kes tempatan yang tiada kaitan.

Singapura juga mengenal pasti empat kluster baharu di 10, Kian Teck Crescent Dormitory, 26, Kian Teck Dormitory, 234, Balestier Road dan 460, Mandai Lodge.

PEKERJA asing yang dikuarantin meninjau dari  balkoni asrama  di Cochrane Lodge 2, Singapura.
PEKERJA asing yang dikuarantin meninjau dari balkoni asrama di Cochrane Lodge 2, Singapura.

“Tiada kes import baharu dalam tempoh lima hari lepas,” kata kementerian itu sambil menambah 38 kes diklasifikasikan sebagai kes tempatan dalam komuniti.

Dalam tempoh dua minggu lalu, MOH berkata, jumlah kes baharu dalam komuniti kekal stabil dengan purata 36 kes sehari.

Daripada kes baharu itu, MOH menyatakan 68 peratus berkaitan kluster yang diketahui dan selebihnya masih melakukan pengesanan kontak.

Mengenai kes disahkan, menurut MOH, 652 kes pulih daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital dan fasiliti isolasi komuniti.

Daripada 1,496 kes yang disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakan kes adalah stabil dan semakin pulih, manakala 26 dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 1,540 yang sihat secara klinikal dan masih positif Covid-19 diasingkan dan berada di fasiliti komuniti.

Singapura setakat ini merekodkan 10 kematian berikutan jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 7:30 AM