HOSPITAL Huoshenshan dikendalikan dengan rapi oleh tentera. FOTO AFP
HOSPITAL Huoshenshan dikendalikan dengan rapi oleh tentera. FOTO AFP
Agensi

BEIJING: Hospital sementara pertama untuk menempatkan pesakit koronavirus baharu di China dibuka, semalam.

Hospital Huoshenshan yang dibina dalam tempoh dua minggu itu kini menerima 50 pesakit dan dikendalikan dengan rapi oleh tentera.

Kemudahan kesihatan dengan kapasiti 1,000 katil itu dibina untuk memudahkan pasukan perubatan merawat pesakit koronavirus baharu di Wuhan.

Semua kakitangan hospital berkenaan juga diwajibkan memakai topeng seperti diarahkan pihak berkuasa.

Sebelum ini, China mengarahkan empat syarikat pembinaan untuk membina hospital berkenaan di atas tapak seluas enam ekar (kira-kira dua hektar).

Projek pembinaan kemudahan itu bermula ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Kerajaan China sebelum ini dilaporkan akan membina sekurang-kurangnya empat hospital sementara bagi menempatkan pesakit koronavirus baharu di negara itu.

Dua daripadanya dibina di Wuhan, bandar yang terjejas teruk akibat penularan wabak berkenaan.

Sementara dua lagi masing-masing dibina di Huanggang yang terletak berhampiran bandar Wuhan dan Zhenzhou, di tengah wilayah Henan.

Selain Hospital Huoshenshan, sebuah lagi hospital sementara bakal dibuka di Wuhan iaitu Leishenshan.

Leishenshan dengan kapasiti 1,600 katil masih dalam proses pembinaan.

Sementara itu, media tempatan melaporkan sebuah gimnasium, pusat pameran dan kompleks budaya di Wuhan mula diubahsuai kepada hospital sementara, sejak malam Isnin lalu.

Ia bagi menempatkan pesakit wabak koronavirus baharu dengan simptom yang ringan.

Setakat ini, 425 kematian direkodkan di China, akibat wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 7:45 AM