ASHWAQ ketika bersemuka dengan Abu Human. Gambar kanan, Ashwaq ketika tinggal di Jerman.
ASHWAQ ketika bersemuka dengan Abu Human. Gambar kanan, Ashwaq ketika tinggal di Jerman.
Agensi

BAGHDAD: Pada usia 14 tahun wanita dari puak Yazidi di Iraq, Ashwaq Hameed, diculik serta dijual sebagai hamba seks oleh pengikut kumpulan Negara Islam (IS) atau Daish dan selepas lima tahun, takdir menemukan wanita itu dengan lelaki yang merogolnya.

Ketika bersemuka dengan penculiknya itu, Abu Humam, Ashwaq berkata: “Angkat kepala kamu, tengok saya. Kenapa kamu tergamak lakukan itu kepada saya? Kenapa? Kerana saya Yazidi?

Menurut laporan Daily Mail, dalam video yang dirakam Agensi Perisikan Kebangsaan Iraq dan disiarkan di televisyen Iraq kelmarin, lelaki berkenaan yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Iraq enggan mengangkat muka memandang Ashwaq sebaliknya menangis.

“Saya baru 14 tahun ketika kamu merogol saya. Angkat kepala kamu!

“Kamu ada adik perempuan? Kamu tiada perasaan? Tiada maruah? Saya baru berusia 14 tahun.

“Mungkin sebaya umur anak perempuan, anak lelaki kamu. Sebaya adik perempuan kamu!

“Kamu musnahkan hidup saya. Rampas segala-galanya daripada saya, semua yang saya impikan.

“Kini, kamu tahu apa erti penderitaan, bagaimana rasanya diseksa, apa itu kesunyian.

“Jika kamu ada sebarang perasaan, kamu tidak akan merogol saya ketika saya berumur 14 tahun,” kata Ashwaq.

Kekejaman Daish yang melakukan pembunuhan ribuan puak Yazidi berlaku pada 2014, di wilayah Sinjar, Iraq, yang dihuni ratusan ribu Yazidi.

Menurut bapa Ashwaq, keluarganya tidak sempat melarikan diri menyebabkan Ashwaq dan 65 lagi anggota keluarga mereka dibawa ke Shaddadiya, Syria dan ditahan dalam bangunan tiga tingkat.

Ashwaq dijual kepada Abu Human dengan harga AS$100 (RM4,100) dan selepas diperkosa berkali-kali, diseksa dan didera, wanita itu berjaya melepaskan diri dengan memasukkan pil tidur ke dalam minuman Abu Human. Dia berjalan 14 jam ke Pergunungan Sinjar, tempat perlindungan puak Yazidi lain.

Dia berhijrah ke Jerman pada Jun 2015 sebagai pelarian, memasuki sekolah dan belajar bahasa Jerman.

Bagaimanapun, Ashwaq terkejut apabila terserempak dengan Abu Humam di Stuttgart pada 2016 dan sekali lagi pada 2018 di Schwabisch Gmund, selatan Jerman.

Pihak berkuasa Jerman menyatakan mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana lelaki itu juga mendaftar sebagai pelarian.

Bimbangkan keselamatannya, Ashwaq meninggalkan Jerman, pulang ke Iraq tinggal bersama keluarganya di kem pelarian.

Tidak dapat dipastikan bagaimana Abu Humam kini dipenjarakan Iraq.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:11 PM