Amal bersama Nadia dalam rancangan temu bual NBC, ‘Today’ hari ini. Gambar kanan, Amal bersama Clooney (Foto Agensi/Fail)
Amal bersama Nadia dalam rancangan temu bual NBC, ‘Today’ hari ini. Gambar kanan, Amal bersama Clooney (Foto Agensi/Fail)
Agensi

New York: Isteri pelakon George Clooney bersedia mempertaruhkan keselamatannya dengan berjuang membawa kes jenayah Negara Islam (IS) ke mahkamah.

Amal Clooney, peguam hak asasi manusia itu berkata, militan IS yang menjadikan wanita sebagai hamba, membunuh dan merogol wanita Yazidi serta kanak-kanak perlu dibawa ke muka pengadilan dengan apa cara sekali pun.

Beliau berkata demikian dalam rancangan temu bual Today oleh NBC hari ini, bersama seorang mangsa kumpulan itu, Nadia Murad yang diculik IS ketika berusia 19 tahun untuk dijadikan hamba seks.

Amal memberitahu Nadia dirogol dua lelaki sehingga pengsan dan IS membunuh lapan abang serta adiknya bersama ibu mereka ketika pembunuhan beramai-ramai puak Yazidi di sebuah bandar di utara Iraq dua tahun lalu.

Nadia berjaya melepaskan diri tiga bulan kemudian dan mendapatkan bantuan di kem pelarian sebelum diberi suaka politik di Jerman.

Ditanya mengenai risiko keselamatannya, Amal berkata: “Ini tugas saya.

“Saya tidak mampu membayangkan keganasan paling buruk dilakukan oleh manusia kepada manusia lain.”

Minggu lalu, Amal berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika melancarkan kempen pendakwaan jenayah IS terhadap kemanusiaan.

“Amat menggerunkan mendengar cerita daripada mangsa berusia semuda 11 dan 12 tahun, apa yang berlaku kepada mereka dan kita tidak melakukan apa-apa untuk menghalang,” katanya.

Ribuan wanita dan kanak-kanak perempuan puak Yazidi dibunuh, diperkosa dan dijadikan hamba seks oleh IS sejak 2014, menuduh mereka menyembah syaitan. Lebih 400,000 puak itu menjadi pelarian.

Menurut data PBB, 7,000 wanita dan kanak-kanak perempuan dijadikan hamba seks oleh IS pada 2014, sebahagian besarnya dari puak Yazidi yang mengamalkan ajaran campuran Kristian, ‘Zoroastrianisme’ dan Islam. Kumpulan militan itu masih menahan 3,500 wanita.

Nadia bersama dua adik perempuan serta sepupu, anak saudara perempuan yang masih remaja dibawa IS ke Mosul bersama 150 lagi wanita pada 2014 untuk dijadikan hamba seks.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 10:05 PM