LAPANGAN terbang berbentuk tapak sulaiman beroperasi sepenuhnya pada tahun 2040.
LAPANGAN terbang berbentuk tapak sulaiman beroperasi sepenuhnya pada tahun 2040.
AFP

BEIJING: Lapangan terbang alaf baru China yang dijangka bakal menjadi antara yang tersibuk di dunia dirasmikan semalam, oleh Presiden Xi Jinping.

Xi mengisytiharkan pembukaan lapangan terbang berbentuk tapak sulaiman itu beberapa hari sebelum China mengadakan sambutan besar-besaran menandakan 70 tahun pemerintahan Komunis.

Terletak 46 kilometer ke selatan Dataran Tiananmen, Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2040 dengan lapan landasan dan berpotensi menerima 100 juta penumpang setahun.

Lapangan terbang itu dilihat sebagai contoh terbaik ‘impian China’ ditawarkan Xi kepada rakyatnya.

Syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa termasuk British Airways, Cathay Pacific serta Finnair sudah mengumumkan perancangan mengalihkan operasi ke lapangan terbang baru itu juga.

Pesawat pertama berlepas dari lapangan terbang itu pada jam 3.30 petang (waktu tempatan), menurut aplikasi penjejak penerbangan China, Umetrip.

Lapangan terbang seluas 700,000 meter persegi itu bersamaan kira-kira 100 padang bola sepak seterusnya bakal menjadi antara lapangan terbang terbesar dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 12:00 PM