PASUKAN polis memeriksa kenderaan yang melalui jambatan Tung Chung di Hong Kong. FOTO: AFP
PASUKAN polis memeriksa kenderaan yang melalui jambatan Tung Chung di Hong Kong. FOTO: AFP
AFP

HONG KONG: Hong Kong mengurangkan perkhidmatan tren dan bas ke lapangan terbang hari ini manakala polis meningkatkan pemeriksaan keselamatan bagi membantutkan perancangan pembantah pro-demokrasi mengganggu perkhidmatan awam di bandaraya itu.

Lapangan terbang kelapan sibuk di dunia itu kini sering menjadi lokasi sasaran pembantah untuk mendesak hak demokrasi dan polis yang bertanggungjawab.

Forum di atas talian yang digunakan oleh gerakan tanpa pemimpin itu mengajak pesertanya mencetuskan gangguan terhadap lapangan terbang Hong Kong dengan mengganggu laluan pengangkutan awam atau berhimpun dalam bangunan.

Bagi menghalang jumlah besar pembantah ke lapangan terbang, pengendali pengangkutan awam bertindak mengurangkan jumlah stesen hentian tren ekspres dan juga bas.

Sejak tiga bulan lalu, jutaan penyokong pro-demokrasi membanjiri Hong Kong, menjadi cabaran terbesar kepada China sejak bandaraya itu diserah semula oleh British pada 1997.

Sebelum ini, pembantah berhimpun di lapangan terbang dengan aman dan ramai aktivis menggunakan peluang untuk mendidik pelancong mengenai matlamat mereka di balai ketibaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 3:08 PM