YANG Hyun-suk (tengah) menafikan tuduhan terbabit dalam skandal seks dan dadah dengan beberapa artis syarikat itu. FOTO EPA
YANG Hyun-suk (tengah) menafikan tuduhan terbabit dalam skandal seks dan dadah dengan beberapa artis syarikat itu. FOTO EPA
Reuters

SEOUL: Produser di sebalik beberapa bintang K-pop terbesar Korea Selatan disoal siasat polis berhubung perjudian haram dan pelacuran, hari ini.

Menurut pegawai penyiasat, satu rangkaian terdiri daripada bintang pop, ahli perniagaan dan polis didakwa bersekongkol untuk mengelak cukai, rasuah, dan pelacuran di beberapa kelab mewah di Gangnam, Seoul.

Pengasas YG Entertainment, Yang Hyun-suk yang menaikkan nama kumpulan Big Bang dan Blackpink hadir di sebuah balai polis Seoul untuk disoal siasat.

Bekas penghibur lagenda itu ketika ditemui media berkata dia akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis.

Sementara itu, polis enggan mengulas mengenai perkara itu dan berkata kes masih dalam siasatan.

Yang meletakkan jawatan sebagai ketua produser YG pada Jun lalu. Dia menafikan tuduhan terbabit dalam skandal seks dan dadah dengan beberapa artis syarikat itu.

Pada Mac lalu, anggota Big Bang, Seungri berundur dari dunia hiburan susulan tuduhan rasuah seks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 12:34 PM