GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

MANILA: Lapan terbunuh manakala kira-kira 60 orang cedera apabila dua gempa bumi menggegarkan kepulauan di utara Filipina, awal pagi tadi.

Gegaran itu masing-masing berukuran 5.4 dan 5.9 magnitud melanda wilayah Batanes, kepulauan kecil di utara Luzon.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menerusi satu kenyataan memaklumkan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran pertama melanda pada jam 4.15 pagi waktu tempatan diikuti gegaran kedua yang lebih kuat empat jam kemudian.

Jurucakap polis, Uzi Villa berkata, ramai penduduk masih berada dalam rumah ketika gegaran pertama berlaku.

“Kami melihat rumah bergegar. Dinding beberapa rumah runtuh dan menghempap mangsa. Ada yang meninggal kerana mereka tidur nyenyak,” katanya kepada AFP.

Paparan imej di media Filipina menunjukkan rumah batu meruntuh dan retakan dalam di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:08 AM