COURCHAINE berkata pihak polis menggunakan semua teknologi yang ada, termasuk dron untuk memburu suspek. FOTO REUTERS
COURCHAINE berkata pihak polis menggunakan semua teknologi yang ada, termasuk dron untuk memburu suspek. FOTO REUTERS
Reuters

OTTAWA: Polis Kanada menggunakan drone dan anjing pengesan di kawasan mencabar di utara Manitoba semalam, untuk memburu dua remaja yang dikehendaki dalam tiga kes bunuh, termasuk seorang wanita Amerika Syarikat dan teman lelakinya dari Australia.

Lewat kelmarin, Polis Diraja Kanada (RCMP) mendakwa Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky, 18, dengan pembunuhan darjah kedua ke atas profesor botani di Universiti British Columbia di Vancouver, Leonard Dyck, 64.

Pada awalnya, kedua-duanya dilaporkan hilang Jumaat lalu tetapi kemudian digambarkan sebagai suspek pembunuhan Chynna Deese, 24, dari Charlotte, Carolina Utara dan kekasihnya Lucas Fowler, 23, dari Sydney, Australia.

Akhbar Globe and Mail melaporkan, Schmegelsky dan McLeod mempunyai kaitan dengan akaun media sosial dan ruang sembang yang menggalakkan ideologi berhaluan kanan dan komunisme, termasuk di YouTube dan Steam, platform pengedaran permainan video.

RCMP berkata semalam, kali terakhir kedua-dua remaja itu dilihat pada Isnin lalu di Gillam, Manitoba, lebih 1,000 kilometer ke utara Winnipeg dan kira-kira 3,000 kilometer dari lokasi jenayah di British Columbia.

“Keadaan muka bumi amat mencabar, ini adalah kawasan luas, banyak belukar tebal dan kawasan berpaya.

“Pegawai polis yang berada di situ terlatih untuk menghadapi situasi sebegini,” kata pegawai perhubungan media RCMP, Julie Courchaine.

Courchaine berkata pihak polis menggunakan semua teknologi yang ada, termasuk dron dalam usaha memburu serta anjing dan responden kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 11:35 AM