SERANGAN berlaku dua hari selepas pemisah Baloch menyerang sebuah hotel mewah di bandar kedua terbesar wilayah Balochistan. FOTO AFP
SERANGAN berlaku dua hari selepas pemisah Baloch menyerang sebuah hotel mewah di bandar kedua terbesar wilayah Balochistan. FOTO AFP

Quetta (Pakistan) : Empat anggota polis terbunuh dan sembilan lagi cedera selepas sebutir bom yang disembunyikan di bawah sebuah motosikal meletup di luar sebuah masjid Quetta, barat daya Pakistan semalam.

Kumpulan Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Pegawai kanan polis, Abdul Razak Cheema memberitahu, dua anggota polis turut tercedera dalam serangan berkenaan.

“Dua daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Motosikal berkenaan diletakkan di luar kawasan masjid di Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan iaitu kawasan bertugas kesemua pegawai polis terbabit.

Pegawai forensik bertugas di lokasi dilihat menanda bukti di sebuah kereta yang hampir musnah dengan kesan darah jelas kelihatan di hadapan kenderaan itu.

Serangan itu berlaku dua hari selepas pemisah Baloch menyerang sebuah hotel mewah di bandar kedua terbesar wilayah itu, Gwadar yang turut menjadi lokasi pembangunan sebuah pelabuhan iaitu projek mega China bernilai jutaan bilion dolar.

Lima individu termasuk seorang anggota tentera maut dalam kejadian berkenaan yang turut meragut nyawa tiga militan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:40 AM