ENAM anggota polis maut dalam tiga letupan berasingan di bandar Quetta di barat daya wilayah Balochistan. - Foto AFP
ENAM anggota polis maut dalam tiga letupan berasingan di bandar Quetta di barat daya wilayah Balochistan. - Foto AFP

SEKURANG-KURANGNYA enam anggota polis maut dalam tiga letupan berasingan oleh pengebom nekad di barat daya Pakistan, hari ini.

Serangan itu berlaku di bandar Quetta di barat daya wilayah Balochistan iaitu lokasi utama pertempuran pasukan polis dan tentera yang memerangi kumpulan militan serta pemisah sejak lebih sedekad lalu.

Setiausaha dalam negeri Balochistan, Ghulam Ali Baloch berkata, pengebom pertama meletupkan dirinya di luar pos pemeriksaan pasukan separa tentera di pinggir bandar Quetta selepas dikesan pengawal.

“Tidak lama selepas itu, pengebom kedua yang melindungi pengebom pertama meletupkan dirinya selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan,” katanya.

Ghulam berkata, kira-kira lapan pegawai separa tentera cedera dalam serangan itu.

Beliau menambah, pengebom ketiga dengan menunggang motosikal merempuh sebuah trak polis yang sedang menghala ke lapangan terbang, membunuh sekurang-kurangnya enam anggota polis, kira-kira setengah jam selepas letupan kedua.

Ketua Polis Quetta, Moazam Jah Ansari mengesahkan semua serangan terbabit dan berkata, letupan ketiga berlaku dengan amat kuat, menyebabkan trak polis berkenaan terbalik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 12:06 AM