INTERPOL kerah pasukan siasatan bantu pihak berkuasa Sri Lanka.
INTERPOL kerah pasukan siasatan bantu pihak berkuasa Sri Lanka.
AFP

LYON: Interpol mengerahkan pasukan siasatan termasuk pakar mengenal pasti mangsa untuk membantu pihak berkuasa Sri Lanka susulan serangan bom yang membunuh hampir 300 orang, kata organisasi polis dunia itu.

Sri Lanka hari ini berkata ia percaya kumpulan ekstremis tempatan, National Thowheeth Jama’ath (NTJ) bertanggungjawab atas serangan itu dan sedang menyiasat sama ada ia mendapat sokongan luar.

Interpol berkata, ia mengerahkan pasukan itu atas permintaan kerajaan Sri Lanka yang turut termasuk pakar pemeriksaan tempat jenayah, antikeganasan dan pengenalpastian mangsa.

“Jika diperlukan, kepakaran tambahan dalam forensik digital, biometrik serta analisis video dan gambar juga akan dihantar,” katanya.

Setiausaha Agung Interpol Juergen Stock berkata, organisasi itu akan ‘terus memberikan apa saja sokongan diperlukan.’

“Maklumat untuk mengenal pasti individu yang terbabit mungkin datang dari pelbagai sumber di seluruh dunia, bererti rangkaian global dan pangkalan data Interpol amat penting terutama untuk penyiasat di lapangan,” katanya.

Kematian dicatatkan semalam seramai 290 orang termasuk puluhan orang asing dalam serangan terburuk di negara itu sejak sedekad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 10:02 PM