PEGAWAI keselamatan Sri Lanka berdiri di luar masjid ketika solat Jumaat di Kattankudy. - AFP
PEGAWAI keselamatan Sri Lanka berdiri di luar masjid ketika solat Jumaat di Kattankudy. - AFP
Agensi

PIHAK berkuasa Sri Lanka, semalam, mengurangkan sehingga 100 orang jumlah kematian akibat serangan bom Ahad lalu, menjadikan jumlah sekarang 253 mangsa, berbanding 359 yang diumumkan sebelum ini dengan alasan berlaku kekeliruan akibat mayat yang berkecai.

Kesilapan jumlah korban itu menambah lagi tekanan terhadap kerajaan yang dikecam kerana gagal menghalang serangan walaupun sudah mendapat maklumat awal membawa kepada peletakan jawatan Ketua Polis Negara dan Setiausaha Pertahanan, semalam.

“Banyak mayat mangsa berkecai menyebabkan seseorang mangsa dikira sebagai dua atau tiga mangsa,” kata kenyataan Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan itu, angka korban terbaru yang lebih rendah itu diperoleh selepas bedah siasat siap dan sampel DNA diperiksa.

Ketua Polis Negara Sri Lanka, Inspektor Jeneral Pujith Jayasundara pula meletak jawatan, semalam, selepas Setiausaha Pertahanan, Hemasiri Fernando meletak jawatan lewat kelmarin, mengakui kesilapan pihaknya dalam aspek keselamatan menghalang serangan bom itu.

“Ketua Polis Negara sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Pemangku Setiausaha Pertahanan.

“Saya akan menamakan Ketua Polis Negara baharu tidak lama lagi,” kata Presiden Maithripala Sirisena.

Polis dan pihak berkuasa lain dilapor menerima maklumat akan berlaku serangan besar-besaran namun maklumat itu tidak disampaikan kepada pihak atasan, termasuk menteri dan presiden, malah polis dilaporkan tidak berusaha melakukan siasatan untuk mengesahkan maklumat terbabit.

AFP yang memetik sumber di India melaporkan, agensi perisikan India berkongsi beberapa amaran mengenai serangan itu dengan pihak berkuasa Sri Lanka namun maklumat terbabit tidak disampaikan kepada menteri.

Menurut pemerhati, antara sebab maklumat penting itu ‘diabaikan’ berikutan pertikaian politik dan kuasa pemimpin Sri Lanka.

Amaran serangan itu jelas kerana pada 11 April, Ketua Polis Negara mengeluarkan peringatan bahawa kumpulan pelampau National Thowheeth Jama’ath (NTJ) merancang serangan nekad terhadap ‘gereja utama’ berdasarkan maklumat agensi perisikan asing.

Dokumen amaran itu dialamatkan kepada beberapa pegawai kanan, namun tidak kepada perdana menteri atau timbalan menteri pertahanan.

Krisis politik Sri Lanka membabitkan ‘perebutan kuasa’ antara Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dan Presiden Maithripala Sirisena yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Ketenteraman Awam.

“Polis berada di bawah kawalan Sirisena menyebabkan polis mungkin tidak berkongsi maklumat dengan pihak yang tidak sehaluan dengan Presiden,” kata pakar daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa, Alan Keenan.

Beberapa jam selepas serangan terhadap empat hotel dan tiga gereja Ahad lalu, Wickremesinghe memanggil pemerintah kanan tentera untuk mesyuarat tergempar namun pegawai terbabit enggan hadir kerana hanya menjawab kepada presiden.

Presiden Sirisena ketika itu bercuti di luar negara dan mereka hanya menghadiri mesyuarat itu selepas Wickremesinghe sendiri pergi ke Kementerian Pertahanan.

Pasukan keselamatan kini diberi kuasa khas melalui perintah darurat dan sudah menahan 76 suspek.

Tentera darat, laut dan udara mengerahkan 3,000 anggota membantu polis mengawal keadaan dan semua penerbangan dron dilarang sama sekali.

Kerajaan Sri Lanka juga menggantung rancangan melaksanakan bebas visa untuk pelancong dari 39 negara termasuk Kesatuan Eropah, Australia dan Amerika Syarikat sehingga enam bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 8:54 AM