FRASER ANNING
FRASER ANNING
Agensi

CANBERRA: Senator yang pernah dikecam dan dipecahkan telur di kepalanya apabila menyalahkan pendatang New Zealand selepas serangan di Christchurch, gagal mempertahankan kerusi Senat.

Stuff.co.nz melaporkan, Fraser Anning sebelum ini menjadi sasaran kecaman antarabangsa selepas mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan itu beberapa jam selepas insiden serangan pengganas di masjid yang membunuh 51 nyawa pada Mac lalu.

Dia berdepan lebih banyak kritikan selepas menampar seorang remaja, Will Connolly atau ‘Budak Telur’ yang memecahkan telur di kepalanya susulan tindakannya itu.

Sydney Morning Herald melaporkan, senator kontroversi berhaluan kanan itu gagal mendapatkan undi mencukupi untuk menang di Parlimen Australia.

Berita kekalahannya itu disambut positif oleh penganalisis pilihan raya di Australia.

“Fraser Anning tidak akan kembali ke tempat asalnya kerana dia tidak akan kembali ke Parlimen,” kata penganalisis Perbadanan Penyiaran Australia, Antony Green.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:57 PM