25 anggota PBB lagi cedera dalam serangan di utara Mali. FOTO/AGENSI
25 anggota PBB lagi cedera dalam serangan di utara Mali. FOTO/AGENSI
AFP

BAMAKO (MALI) : Sepuluh anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh dan sekurang-kurangnya 25 lagi cedera dalam serangan ke aras kem PBB di utara Mali semalam, antara yang terburuk ke atas misi PBB di negara Afrika Barat.

Agensi berita Al Akhbar melaporkan, militan Islam Al Qaeda di Maghreb Islamik (AQIM) mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu dan berkata ia adalah reaksi terhadap lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Chad.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu yang berlaku ke atas kem di Aguelhok dalam rantau Kidal dan mendesak penyerang dibawa ke muka pengadilan.

“Sepuluh anggota pengaman dari Chad terbunuh dan sekurang-kurangnya 25 lagi cedera,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Menurut sumber rapat misi Misi Kestabilan Integrasi Pelbagai Dimensi PBB di Mali (MINUSMA), serangan terbabit berlaku awal pagi semalam di pangkalan Aguelhok, 200 kilometer di utara Kidal, menuju ke sempadan Algeria.

“MINUSMA memberi tentangan sengit dan sejumlah besar penyerang berjaya dibunuh,” kata Dujarric tanpa memberikan jumlah kematian sebenar.

Wakil PBB ke Mali, Mahamat Saleh Annadif mengutuk serangan itu yang disifatkan sebagai ganas dan satu jenayah.

“Pasukan pengaman MINUSMA di Aguelhok berdepan satu serangan canggih oleh militan yang datang dengan beberapa kenderaan bersenjata,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 8:36 AM