TUNANG Khashoggi, Hatice Cengiz ketika majlis pengebumian di Washington DC pada 2 November 2018. FOTO AFP
TUNANG Khashoggi, Hatice Cengiz ketika majlis pengebumian di Washington DC pada 2 November 2018. FOTO AFP
AFP

TURKI ada bukti tambahan mengenai pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi termasuk rakaman pita kedua kejadian yang menunjukkan ada percanggahan dengan kenyataan Arab Saudi dalam perkara itu, lapor akhbar di Istanbul, hari ini.

Rakaman pita kedua yang dikatakan berlangsung 15 minit jelas menunjukkan pembunuhan Khashoggi, penulis akhbar Washington Post sebenarnya dirancang lebih awal, lapor akhbar Hurriyet.

Ini bercanggah dengan kenyataan pendakwa raya Arab Saudi yang memberitahu semalam bahawa lima pegawai Saudi menghadapi hukuman mati atas tuduhan membunuh Khashoggi tetapi tanpa Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman tidak terbabit.

Khashoggi, 59, adalah pengkritik Putera Mahkota itu dan dibuhuh sebelum mayatnya dikerat di konsulat Arab Saudi di sini, 2 Oktober lalu.

Turki berkata, pembunuhan itu dilakukan sepasukan pegawai Arab Saudi yang mengunjungi Istanbul.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa arahan pembunuhan adalah daripada peringkat tertinggi kerajaan tetapi tidak menuding kepada Putera Mahkota.

Penulis akhbar Hurriyet, Abdulkadir Selvi, berkata fakta terpenting dalam kenyataan pendakwa raya Arab Saudi selaras dengan bukti yang ada dengan Turki tetapi pita kedua menunjukkan pembunuhan itu dirancang.

Pita kedua membuktikan, sepasukan 15 anggota pasukan pembunuh sudah ada dalam konsulat sebelum Khashoggi tiba dan membincangkan cara membunuhnya, kata Selvi.

Turki juga ada bukti menunjukkan anggota pasukan itu membuat panggilan antarabangsa selepas pembunuhan berlaku, katanya.

Pendakwa raya Arab Saudi telah mengumumkan pendakwaan ke atas 11 orang dengan 21 individu ditahan berkaitan pembunuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 5:28 PM