SALAH satu jet persendirian yang digunakan pasukan 15 anggota yang dihantar  Riyadh ke Istanbul. - Agensi
SALAH satu jet persendirian yang digunakan pasukan 15 anggota yang dihantar Riyadh ke Istanbul. - Agensi
Agensi

ISTANBUL: Arab Saudi mengakui Jamal Khashoggi dibunuh selepas dua minggu menafikannya dan kini muncul pelbagai teori mengenai mayatnya yang masih belum ditemui.

Ada laporan menyatakan kemungkinan mayat kolumnis Washington Post itu dimasukkan ke dalam asid untuk dihancurkan seperti laporan Sky News yang memetik sumber.

Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan mayat Khashoggi dimasukkan ke dalam gulungan permaidani sebelum diserahkan kepada orang tempatan untuk dilupuskan.

Pihak berkuasa Turki pula menyatakan mempunyai bukti rakaman audio menunjukkan tubuh Khashoggi dipotong oleh pakar forensik, Salah Muhammad al-Tubaigy, yang datang ke Istanbul bersama skuad 15 anggota.

Polis Turki dikatakan menggeledah hutan di pinggir Istanbul dan sebuah villa atau rumah ladang di Yalova, 90 kilometer dari Istanbul bagi mencari mayat berkenaan selepas kenderaan dari konsulat Arab Saudi dikesan ke kawasan berkenaan.

Namun, menurut laporan Middle East Eye (MEE), pihak berkuasa Turki juga percaya anggota tubuh Khashoggi yang dipotong-potong itu diterbangkan keluar oleh seorang pengawal peribadi Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Portal berita itu yang memetik sumber pihak berkuasa Turki melaporkan, Maher Abdulaziz Mutrib, pegawai perisikan yang membunuh Khashoggi dalam konsulat, membawa anggota tubuh mangsa dalam beg besar.

Mutrib yang sering kelihatan bersama Putera Mahkota meninggalkan Istanbul pada 2 Oktober, hari Khashoggi dibunuh dengan jet persendirian yang berlepas pada jam 6.20 petang waktu tempatan.

Begnya tidak diperiksa kerana menggunakan laluan VIP di lapangan terbang. Pesawat berkenaan dengan nombor ekornya HZ-SK1 juga tidak diperiksa kerana ketika itu amaran kematian Khashoggi belum dihebahkan.

Pesawat kedua yang berlepas tidak lama selepas itu, diperiksa secara menyeluruh oleh pihak berkuasa Turki

Menurut sumber, Mutrib yang menggunakan pasport diplomatik kelihatan tergesa-gesa. Beliau adalah seorang daripada tujuh anggota keselamatan pasukan pengawal Putera Mahkota yang dibawa ke Istanbul bagi menangani Khashoggi.

Menurut MEE, sumber memberitahu mayat Khashoggi dipotong kepada 15 bahagian oleh al-Tubaigy menggunakan gergaji tulang.

Mangsa mengambil masa tujuh minit untuk mati selepas disuntik bahan beracun dan kerja memotong tubuhnya dilakukan sebelum Khashoggi benar-benar mati.

Pihak berkuasa Turki

berazam mengesan mayatnya walaupun hanya cebisan dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berikrar mendedahkan kebenaran di sebalik pembunuhan itu berkata, beliau akan membuat kenyataan baru hari ini atau esok.

Kehadiran Mutrib dalam pasukan 15 anggota itu menyukarkan Arab Saudi ‘menjauhkan’ Putera Mahkota daripada kes berkenaan, kononnya pembunuhan itu dilakukan tanpa pengetahuan Mohammed dan pasukan terbabit melampaui batas sedangkan misi awal ialah memujuk Khashoggi pulang atau menculiknya.

Dua pegawai kanannya, timbalan pengarah perisikan Ahmed al-Assiri dan pembantu khasnya, Saoud al-Qahtani, dipecat dalam usaha membersihkan namanya, namun sukar untuk menjelaskan kenapa Mutrib berada dalam pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 7:00 AM