JOKOWI (dua dari kanan) ketika melawat Sulawesi. FOTO/AFP
JOKOWI (dua dari kanan) ketika melawat Sulawesi. FOTO/AFP
Agensi

PALU: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo meminta mangsa gempa bumi dan tsunami yang terselamat supaya bersabar, ketika tiba di ibu negeri tengah Sulawesi.

Katanya, kerajaan memerlukan tempoh seminggu untuk menyiapkan lapangan terbang bagi membolehkan pesawat membawa bantuan mendarat dengan selamat.

“Saya sedar mengenai banyak isu yang perlu diselesaikan secepat mungkin dan saya berharap penduduk kekal sabar dalam situasi sebegini,” katanya, hari ini.

Penduduk Palu yang terjejas akibat bencana itu berdepan kesukaran mendapatkan bekalan elektrik dan bahan bakar selain bekalan lain seperti makanan dan perubatan, sejak malam kelmarin.

Agensi berita Antara melaporkan bahawa mangsa terselamat di Donggala berlindung di kawasan berbukit Donggala Kodi dan mereka juga merayu bantuan, hari ini.

“Kami memerlukan makanan atau mi segera. Kami tidak menerima sebarang bantuan kerana kerajaan memberikan tumpuan terhadap Palu yang mempunyai ramai korban.

“Anak saya berusia setahun menangis kerana tiada susu dan tiada kedai dibuka,” kata penduduk Arif Pandian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 7:10 AM