PENDUDUK Hong Kong mula membersihkan persekiran kawasan kediaman mereka yang dilanda Taufan Mangkhut. FOTO/AFP
PENDUDUK Hong Kong mula membersihkan persekiran kawasan kediaman mereka yang dilanda Taufan Mangkhut. FOTO/AFP
AFP

HONG KONG: Rantau pentadbiran khas di sini memulakan kerja pembersihan besar-besaran hari ini selepas serangan Taufan Mangkhut membawa hujan lebat dan banjir besar dalam kemusnahan yang mengakibatkan puluhan maut di Filipina dan jutaan lain diarahkan berpindah di selatan China.

Angka kematian di Filipina, di mana pulau utama Luzon dibadai angin kencang dan hujan lebat, meningkat kepada 65 orang semalaman, ketika penyelamat menarik lebih banyak mayat daripada kawasan tanah runtuh di bandar pergunungan, Itogon.

Tanah runtuh itu menimbus pusat perlindungan kecemasan digunakan pelombong dan keluarga mereka di bandar itu.

Tiada siapa ditarik hidup-hidup di sebalik runtuhan dan saudara mara mangsa mengambil bahagian dalam usaha menyelamat, kata datuk bandar Victorio Palangdan kepada AFP.

Jurucakap polis nasional, Superintendan Kanan Benigno Durana berkata, 43 orang masih hilang dan lebih 155,000 ditempatkan di pusat pemindahan, dua hari selepas taufan membadai.

Kawasan ladang di seluruh utara Luzon, yang menghasilkan majoriti beras dan jagung negara itu, ditenggelami banjir lumpur, tanaman mereka rosak sebulan sebelum musim menuai.

Selepas membadai Luzon dan seterusnya Hong Kong dan Macau, Mangkhut mendarat di tanah besar China lewat semalam, mengorbankan empat orang di wilayah Guangdong, termasuk tiga yang dihempap pokok tumbang.

Pihak berkuasa berkata, mereka memindahkan lebih tiga juta orang dan mengarahkan puluhan ribu bot nelayan pulang ke pelabuhan sebelum ketibaan apa yang digelar media China, ‘Raja Segala Ribut.’

Di bandar bangunan tinggi di sini, kerajaan menyifatkan kerosakan sebagai ‘teruk dan meluas’ dengan lebih 300 orang cedera dalam amaran taufan maksimum T10.

Tugas pembersihan penting bermula ketika penduduk bandar ini, sesetengahnya memakai sut dan tali leher, berusaha kembali bekerja dan berdepan jalan raya dihalang pokok tumbang, lumpur dan serpihan.

Sekolah ditutup, perkhidmatan bas dihentikan manakala gangguan perjalanan menyaksikan penduduk bersesak menunggu kereta api selepas pokok menimpa tiang elektrik.

Tanah runtuh dan banjir teruk menjejaskan sesetengah kawasan, dengan lebih 1,500 penduduk berlindung di pusat perlindungan sementara. Mangkhut membawa angin kencang berkelajuan lebih 230 kilometer sejam, menyebabkan bangunan bergoyang manakala ombak besar menghempas kediaman dan pusat beli belah, dengan sesetengah jalan raya dinaiki air separas pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 5:32 PM