GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

WANITA warga emas Amerika Syarikat (AS) berusia 92 tahun menembak mati anak lelakinya berusia 72 tahun kerana mahu menempatkannya di kemudahan kebajikan, ditahan kerana disyaki membunuh, kata polis kelmarin.

Anna Mae Blessing ditahan Isnin lalu di kediaman dikongsi bersama anak lelakinya di pinggir bandar ini dengan ikat jamin AS$500,000 (RM2.03 juta), kata pegawai mahkamah.

Wanita itu tidak membuat pengakuan ketika hadir di mahkamah dan tidak jelas jika dia melantik peguam.

Blessing memberitahu detektif susulan penahanannya, dia menyembunyikan dua pistol dalam poket jubah dan bersemuka dengan anaknya dalam bilik, lalu menembaknya beberapa kali, kata Pejabat Sherif Maricopa County dalam satu kenyataan.

Suspek memberitahu penyiasat, dia cuba menghalakan senjata ke arah teman wanita anak lelakinya berusia 57 tahun, namun mangsa berjaya menepis senjata itu, menurut pejabat sherif.

Blessing sedang duduk di kerusi baring dalam bilik tidurnya apabila ditahan selepas enggan meninggalkan rumahnya, menurut rekod mahkamah.

Tertuduh memberitahu detektif, dia bersemuka dengan anak lelakinya berhubung rancangan anaknya menghantar Blessing ke rumah kebaijkan, kerana agak sukar menjalani hidup dengan ibunya.

Blessing juga memberitahu detektif, dirinya perlu ‘ditidurkan’ atas tindakannya dan berhasrat membunuh diri susulan insiden itu.

Polis berkata, mereka pernah mengunjungi kediaman itu sebelumnya susulan pertengkaran antara wanita itu dan anak lelakinya. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 9:09 AM