Reuters

SEKURANG-KURANGNYA tujuh penduduk Palestin terbunuh manakala ratusan lain cedera dalam serangan Israel ketika pertembungan akibat bantahan besar-besaran di sempadan Gaza-Israel, kata pegawai perubatan di Gaza.

Seorang daripada mangsa yang maut berusia 16 tahun dan majoriti mangsa ditembak, menurut pasukan medik Palestin yang menganggarkan jumlah yang cedera sekitar 500 orang pada tengah hari.

Askar Israel berkata, anggotanya menggunakan ‘kaedah penyuraian rusuhan serta melepaskan tembakan ke arah pencetus huru-hara’ dengan sesetengah penunjuk perasaan membaling batu dan menggolekkan tayar terbakar di pagar sempadan dan ke arah tentera.

Pegawai kesihatan Palestin berkata, tentera Zionis menembak penunjuk perasaan sebagai tambahan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.

Saksi berkata, tentera menggunakan dron dalam di sekurang-kurangnya satu lokasi untuk menggugurkan gas pemedih mata.

Bantahan Palestin itu sempena sambutan ‘Hari Tanah’, bagi mengingati ulang tahun kematian enam warga Arab Israel dibunuh tentera Zionis ketika bantahan pada 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 12:08 AM