FOTO URNWA
FOTO URNWA
Agensi

AMMAN/BEIRUT: Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza membuat persiapan menyambut ulang tahun pertama Perarakan Besar Kepulangan hari ini, iaitu perhimpunan besar-besaran di sempadan Gaza-Israel yang sudah mengorbankan ratusan nyawa dan ribuan cedera.

Menurut AFP, selain penunjuk perasaan dewasa, turut terbunuh 40 kanak-kanak, kakitangan perubatan dan wartawan akibat kekejaman tentera Israel yang menembak penunjuk perasaan tidak bersenjata menggunakan peluru hidup, malah membedil mereka dengan kereta kebal.

Perhimpunan itu bermula pada 30 Mac 2018 yang dijadualkan selama enam minggu siri kempen bantahan menuntut Israel menamatkan kepungan dan sekatan terhadap Gaza sejak sedekad lalu.

Mereka juga menuntut rakyat Palestin yang kini menjadi pelarian dibenarkan pulang ke perkampungan mereka selepas dihalau dan tanah mereka dirampas rejim Zionis ketika penubuhan negara Yahudi itu pada 1940-an.

Namun, perhimpunan itu kemudiannya berlanjutan dengan ribuan penduduk Palestin membanjiri sempadan dengan Israel, terutama di Khan Yunis, setiap Jumaat sehingga sekarang.

AFP melaporkan, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, 258 penduduk Palestin terbunuh sejak tunjuk perasaan itu bermula manakala ribuan lagi cedera.

Dua tentera Israel juga terbunuh dalam tempoh itu.

Bulan lalu, Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COI) menyiarkan dakwaan yang mengutuk tindakan diambil tentera Israel menghadapi tunjuk perasaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 12:00 PM