GAMBAR menunjukkan keadaan kereta api penumpang yang tergelincir selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta api di Carolina Selatan, Amerika Syarikat.  FOTO Twitter
GAMBAR menunjukkan keadaan kereta api penumpang yang tergelincir selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta api di Carolina Selatan, Amerika Syarikat. FOTO Twitter
Agensi

SEKURANG-KURANGNYA dua maut dan lebih 70 lagi cedera apabila kereta api membawa 139 penumpang bertembung dengan kereta api barang di Carolina Selatan, Amerika Syarikat.

Kereta api Amtrak dari New York ke Miami itu bertembung dengan kereta api barang CSX sebelum tergelincir di Cayce, berhampiran Columbia, kira-kira 2.30 pagi (waktu tempatan), hari ini.

Amtrak dalam kenyataan berkata, lokomotif kereta api itu tergelincir bersama beberapa gerabak penumpang.

Lapan kru turut berada dalam kereta api berkenaan.

Jabatan Syerif Daerah Lexington mengesahkan kesemua penumpang dikeluarkan daripada kereta api.

Seorang pegawai berkata, walaupun 19,000 liter bahan bakar tumpah berikutan kemalangan itu, tiada bahaya terdedah kepada orang awam.

Kemalangan berlaku beberapa hari selepas sebuah lagi kereta api Amtrak membawa puluhan anggota Kongres Republikan termasuk Speaker Dewan Perwakilan, Paul Ryan, bertembung dengan lori sampah di Virgina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 10:38 PM