SEORANG kanak-kanak menerima rawatan di sebuah hospital di Syria selepas cedera dalam serangan udara Turki. - AFP
SEORANG kanak-kanak menerima rawatan di sebuah hospital di Syria selepas cedera dalam serangan udara Turki. - AFP

Damsyik: Sekurang-kurangnya 51 orang awam, termasuk 17 kanak-kanak terbunuh akibat perang antara Turki yang menggempur militan Kurdish di utara Syria, manakala sebahagian besar lagi cedera teruk.

Gambar dari hospital di Syria yang merawat mangsa perang itu, terutama daripada puak Kurdish menunjukkan kanak-kanak cedera parah akibat pengeboman pesawat Turki.

Turki yang melancarkan operasi Olive Branch ‘Dahan Zaitun’ pada 20 Januari terhadap Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG), menyokong kumpulan bersenjata Syria yang bertempur di darat.

Turki tidak mengiktiraf wilayah Kurdish dan menganggap mereka yang berjuang menuntut penubuhan wilayah Kurdish sebagai pengganas. Militan Kurdish mendapat sokongan Amerika Syarikat.

Pesawat Turki dan meriam membedil Gunung Barsaya di wilayah Kurdish, Afrin, kedudukan penting di sempadan Turki - Syria bagi menguasai bandar Kilis dan Azaz.

Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menyatakan, sekurang-kurangnya 51 orang awam, termasuk 17 kanak-kanak terbunuh dalam serangan sejak Ahad lalu, termasuk lapan mangsa dari satu keluarga.

Menurut pertubuhan itu, 66 militan YPG dan 69 anggota kumpulan bersenjata Syria yang disokong Turki, juga terbunuh.

Minggu lalu, 34 orang awam terbunuh akibat serangan udara Turki dan mayat mereka dibawa ke hospital di Afrin itu.

Independent melaporkan, menurut hospital itu, lebih 70 pesawat Turki membedil militan Kurdish dengan menyasarkan berek tentera dan peralatan.

Sementara itu, Reuters melaporkan dua roket yang ditembak dari Afrin, Syria, semalam, mengenai bandar Kilis dan Reyhanli di Turki, menyebabkan seorang terbunuh.

Agensi berita Turki, Anadolu, melaporkan bedilan roket gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan YPG itu mengenai dua rumah menyebabkan seorang remaja 18 tahun terbunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 10:45 AM