TANAMAN hiasan tergantung menyerlahkan lagi suasana restoran Watchman’s Seafood & Spirits.
TANAMAN hiasan tergantung menyerlahkan lagi suasana restoran Watchman’s Seafood & Spirits.
Nurul Husna Mahmud

Panel kayu, batang besi atau rak pada dinding bukan saja berfungsi sebagai penyokong struktur tertentu, sebaliknya menjadi pilihan buat pereka dalaman menggunakannya sebagai struktur mencipta taman mini dalam bangunan.

Menariknya konsep taman atau sudut hijau dalam bangunan itu menjadi trend sebahagian besar restoran mahupun kafe serata dunia.

Antara yang memilih konsep terbabit ialah Watchman’s Seafood & Spirits di Atlanta Amerika Syarikat, pada asasnya mahu menampilkan konsep ala lautan kebiruan dan kayu, tidak ketinggalan menyertakan ciri tanaman hiasan dalam perincian ruang dalaman mereka.

Terdapat berdozen tumbuhan digantung pada struktur besi lama yang merintangi siling restoran itu.

Tidak cukup dengan itu, deretan tanaman dalam pasu kecil disusun bertingkat secara rawak di satu sudut dinding restoran memberikan suasana kehijauan dikelilingi lautan.

Begitu juga dengan sebuah restoran Jepun di bandar Quebec, Kanada, Hono Izakaya yang turut menampilkan konsep tanaman hiasan apabila pereka tempatan Charlene Bourgeois bertindak membina struktur kayu memisahkan satu ruang makan dengan ruang lain.

Selain struktur tanaman digantung dalam pasu bulat berselang dengan lampu berbentuk sama, terdapat juga tanaman dalam pasu besar berwarna putih diletakkan di sudut berhampiran pintu masuk.

STRUKTUR kayu yang menyokong tanaman di restoran Jepun Hono Izakaya.
STRUKTUR kayu yang menyokong tanaman di restoran Jepun Hono Izakaya.

Pereka dalaman New York Huy Bui bersama perunding dekorasi Micheal Yarisnsky pula mengabadikan elemen malar hijau dalam restoran Vietnam, Di An Di di Brooklyn, Amerika Syarikat.

Mengambil inspirasi suasana kehijauan di pekan kecil Dalat yang terletak di utara Ho Chi Minh, Bui bijak bermain dengan warna iaitu putih dan hijau selain palet semula jadi seperti perang kayu membuatkan pengunjung merasai atmosfera seperti di kelilingi kehijauan di kawasan kedesaan tanah tinggi itu.

Tidak terkecuali The Pan Plano, sebuah restoran piza di Cordoba, Argentina memberi pengalaman pengunjungnya seolah-olah menikmati hidangan seperti di jalanan meskipun sebenarnya mereka dalam restoran.

Kumpulan pereka dari Pigmento Experimenta Studio diketuai Sofia Asan dan Manuela Madruga menampilkan sudut kreativiti pintar apabila meletakkan objek perincian seperti basikal dan lampu jalan dilengkapi dengan pokok dalam pasu hiasan seolah-olah memberi pandangan seperti berada di jalanan kota Itali.

INSPIRASI hijau kawasan kedesaan tanah tinggi di Dalat, Vietnam.
INSPIRASI hijau kawasan kedesaan tanah tinggi di Dalat, Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 11:59 AM