KAKITANGAN IOM menyoal siasat migran  yang terselamat dalam kejadian kelmarin.  - Agensi
KAKITANGAN IOM menyoal siasat migran yang terselamat dalam kejadian kelmarin. - Agensi
GAMBAR fail, migran dari Habsyah dan Somalia ketika dalam pelayaran menuju ke Yaman.  - Agensi
GAMBAR fail, migran dari Habsyah dan Somalia ketika dalam pelayaran menuju ke Yaman. - Agensi
AFP

Dubai: Penyeludup memaksa lebih 120 warga Somalia dan Habsyah terjun ke laut di luar pantai Yaman kelmarin, menyebabkan 29 orang mati dan 22 hilang.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) berkata, ia menemui kubur cetek 29 migran di pantai di Shabwa, wilayah selatan Yaman selepas mangsa dikebumikan oleh mereka yang terselamat.

“Penyeludup sengaja menolak migran itu ke laut kerana bimbang mereka akan ditangkap pihak berkuasa sebaik tiba dipantai. Mereka kemudian berlepas pulang ke Somalia untuk mengangkut lebih ramai migran sebelum belayar kembali ke Yaman untuk menyeludup migran itu,” kata pegawai kecemasan IOM di Aden.

IOM berkata, kira-kira 55,000 migran berlepas dari Tanduk Afrika menuju ke Yaman sejak awal tahun ini, kebanyakannya untuk mencari pekerjaan di negara Teluk.

Menurut pegawai pertubuhan itu, sebahagian besar mangsa yang mati dan hilang dalam kejadian kelmarin ialah wanita dan kanak-kanak.

“Mangsa yang terselamat memberitahu kami, seorang penyeludup menolak mereka ke laut selepas ternampak apa yang mereka sangka pegawai di kawasan pantai.

“Mereka juga memberitahu kami, penyeludup itu kembali belayar ke Somalia untuk mengangkut pendatang ke Yaman menerusi laluan sama. Ini amat mengejutkan dan tidak berperikemanusiaan,” kata ketua misi IOM di Yaman, Laurent de Boeck.

Meskipun perang saudara di Yaman yang bermula pada Mac 2015 sudah meragut lebih 8,000 nyawa dan negara itu diambang kebuluran, ia masih menjadi tumpuan penduduk yang melarikan diri dari negara di Tanduk Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 10:06 AM