Redzuan Muharam

Bermula minat menonton filem Star Wars, Moe Aizat Adnan menjadi pengumpul mainan watak ikonik fiksyen berkenaan dan kini terjebak pula sebagai pemain cosplay.

Menariknya, Moe Aizat tidak memakai kostum lengkap seperti pemain cosplay lain tapi menggabungkan pakaian dan aksesori tradisional pada karakter kesukaannya iaitu Darth Vader.

Moe yang bekerja sebagai pengalih suara berkata, suntikan elemen tradisional dalam pemakaian kostum bukan bertujuan mengubah keaslian karakter berkenaan tetapi lebih kepada cara untuk mempamerkan kreativiti sebagai pemain cosplay.

“Pada mulanya, saya lebih cenderung mengumpul mainan tapi pertemuan dengan komuniti pengumpul menarik minat untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Namun, saya tidak mahu terikat dengan kostum asal dan itu sebabnya cuba mengubahsuainya dengan memakai baju Melayu bersama tanjak dan samping untuk tampil berbeza ketika menyertai program ‘Collector’s Toy Fair Kuala Lumpur (CTFKL) siri keempat, baru-baru ini.

“Tak dinafikan ada peminat tegar karakter berkenaan mengecam tindakan saya itu,” katanya yang mendapat jolokan Hang Vader dalam kalangan rakan.

Menurut Moe, apa yang dilakukannya bukan bertujuan menarik perhatian tapi untuk mengekspresikan minat dengan cara tersendiri.

Katanya, dia berharap ia dapat memberi inspirasi kepada peminat cosplay lain supaya lebih berani melakukan sesuatu yang berbeza.

MOE menyuntik elemen tradisional dalam karakter Darth Vader.
MOE menyuntik elemen tradisional dalam karakter Darth Vader.

“Apabila sebut berkenaan cosplay, ada yang menganggap ia hobi yang mahal kerana perlu membelanjakan wang untuk membeli kostum dan sebagainya.

“Sedangkan ada cara untuk aktif dengan hobi berkenaan contohnya menghasilkan kostum berkenaan menggunakan bahan terbuang.

“Syaratnya, mereka perlu kreatif dan itu sebabnya saya tampil sebegini supaya lebih ramai berani melakukan perkara sama. Bagi saya, pemain cosplay boleh bebas berkarya dengan cara mereka tapi masih mengekalkan identiti sesuatu karakter,” katanya.

Menurut Moe, buat masa ini, dia masih belum jemu untuk aktif sebagai pemain cosplay dan bukan disebabkan obses tetapi yakin dengan masa depan hobi berkenaan.

Katanya, ia terbukti apabila dia sendiri diundang ke Thailand untuk menjadi pemain cosplay untuk watak juruterbang ‘Tie Fighter’ sempena pelancaran filem Star Wars di negara berkenaan.

“Sebenarnya, bakat pemain cosplay ini boleh diketengahkan jika diberi ruang dan peluang untuk ke hadapan.

“Malah, saya sendiri pernah beberapa kali mendapat kepercayaan penganjur dari luar negara. Itu bukti hobi ini juga boleh dijadikan kerjaya sampingan.

“Jika bakat pemain cosplay luar negara diiktiraf, kita juga boleh mendapat pengiktirafan sama sekiranya benar-benar serius,” katanya yang turut mempunyai kemahiran menghasilkan kostum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 12:12 AM