BERPEGANG pada keikhlasan ketika mendidik.
BERPEGANG pada keikhlasan ketika mendidik.
Aniza Zainudin


Bermula ingin menunaikan impian bapa melihatnya bergelar guru, kini Norfazlinda Mustaffa mula jatuh cinta pada profesion mulia ini sebaik memikul amanah sebagai guru sandaran selama tiga bulan di sebuah sekolah di negeri kelahirannya.

Tidak lagi menoleh ke belakang, wanita ini membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma Pendidikan Teknologi Maklumat di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Menariknya, gedung menimba ilmu itu bukan saja menjadi tempat Norfazlinda mencari rezeki bahkan bertemu jodoh dengan suami, Sallehuddin Saad, bergelar guru kaunselor.

GURU miliki sentuhan magis.
GURU miliki sentuhan magis.

“Sebaik menerima diploma pendidikan, saya ditugaskan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, Bintangor, Sarawak selama tiga tahun bermula Februari 2014.

“Dipisahkan dengan Laut China Selatan dan berjauhan dengan suami serta keluarga, ia bukan alasan buat saya memandang remeh tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa.

“Ini kerana saya berpegang pada keikhlasan dan ketulusan seorang guru mampu mengubah seorang murid ‘zero’ (sifar) kepada hero.

“Sentuhan magis ini mampu dilaksanakan seorang guru termasuk melembutkan hati pelajar yang keras dan melihat dunia pada sisi berbeza serta menyeluruh.

“Melalui fasa ibu hamil tanpa suami di sisi, saya tidak mempunyai lesen besar wanita mengandung (mengidam) malah saya turut berdepan alahan hamil yang teruk.

“Tetapi saya bersyukur kerana dikelilingi teman rumah, rakan sekolah malah pelajar yang sangat memahami,” katanya yang kini mendidik di SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis.

BERSAMA pelajar menyambut Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah.
BERSAMA pelajar menyambut Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah.

Mengajar subjek Bahasa Malaysia, Matematik Tambahan dan Sains, ibu ini mengakui perkongsian kerjaya bersama suami lebih banyak memberi kebaikan kepada keluarga muda sepertinya.

Saling memahami amanah digalas, Norfazlinda dan suami saling menerapkan sikap positif antara satu sama lain walaupun terpaksa memenuhi komitmen sebagai guru pada luar waktu persekolahan terutama hujung minggu dan waktu malam.

Berjaya menepis perasaan curiga dan cemburu keterlaluan, Norfazlinda mengakui mereka dapat meluangkan masa berkualiti bersama ketika bercuti pada waktu yang sama, seperti musim cuti persekolahan yang panjang.

“Saya dan suami walau bertugas di sekolah namun bidang yang berbeza, jadi isu seperti menghadiri kursus bersama sangat jarang berlaku.

“Justeru, kami boleh bergilir-gilir dalam bab penjagaan anak sekiranya seorang daripada kami mempunyai tugas luar,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

BERSAMA keluarga sempena sambutan ulang tahun perkahwinan.
BERSAMA keluarga sempena sambutan ulang tahun perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 7:39 AM