DAPUR Nurhadzlena mempunyai keunikan tersendiri.
DAPUR Nurhadzlena mempunyai keunikan tersendiri.
NURHADZLENA bijak mengatur perabot supaya kelihatan sesuai dalam rumah.
NURHADZLENA bijak mengatur perabot supaya kelihatan sesuai dalam rumah.
BARANGAN antik dalam rumah lama menghidupkan suasana unik tersendiri.
BARANGAN antik dalam rumah lama menghidupkan suasana unik tersendiri.
Hafiz Ithnin


BAGI wanita berusia 40-an ini dan suami menghargai 'karya lama' dalam rumah bukan sahaja dapat mengembalikan nostalgia mereka ketika zaman kanak-kanak, malah mengangkat nilai estetika itu sendiri.

Lebih menarik rumah yang disewanya mungkin dibangunkan sejak 1970-an memberi nilai tambah kepada hiasan dalaman yang begitu antik dan unik. Apatah lagi, pelbagai jenis dedaun menjadi aksesori landskap dalam rumah dua tingkat itu.

Nurhadzlena Mohd Hazhir berkata, lebih 80 peratus perabot di dalam rumahnya itu 'dikutip' daripada pelbagai sumber sejak dia sekeluarga mendiami rumah itu sejak 2010.

Katanya, sebelum ini dia sekeluarga menghuni rumah jenis kondominium sudah padat pelbagai barangan antik yang diberikan pelbagai pihak kepadanya.

"Saya mula mengumpul barangan lama ini sekitar 2003 atau 2004 kerana sukakan perabot lama. Ada antaranya diberikan bapa saudara dan tinggalan nenek saya.

"Perabot paling lama dalam rumah saya adalah sebuah kabinet milik nenek saya yang mungkin sudah ada sejak 1950-an. Bagi saya setiap barangan lama ini mempunyai nilai estetika tersendiri," katanya.

Meskipun Nurhadzlena dan suami, Ahamad Syamly Rusly Rusdi memiliki pelbagai barangan lama, tetapi mereka bijak menyusun atur barangan itu bagi menjadikannya tampak menarik dalam rumah.

Nurhadzlena berkata, kebanyakan tetamu yang kali pertama mengunjungi rumah mereka akan mengatakan rumah itu mempunyai aura begitu selesa sebagai sebuah rumah keluarga dan tampak rastik.

POKOK tanduk rusa yang disusun secara menegak dalam rumah.
POKOK tanduk rusa yang disusun secara menegak dalam rumah.

Menariknya kebanyakan barangan lama mempunyai rona yang hampir sama sama ada berwarna coklat atau semula jadi menjadikannya mudah untuk kelihatan mempunyai kesinambungan.

"Saya ada juga merujuk kepada pelbagai bahan bacaan untuk mendapatkan inspirasi bagi mendekorasi rumah. Misalnya dahulu saya melanggan sebuah majalah dekorasi untuk mendapatkan idea susur atur.

"Namun, kini kita mempunyai perkongsian di media sosial lebih mudah untuk menjadikannya sebagai rujukan.

"Menerusi bahan bacaan itu, saya mendapati warna adalah perkara paling utama bagi menjadikan rumah itu kelihatan menarik kerana keharmonian warna perabot dan aksesori itu sendiri," katanya.

ANTARA ruang santai yang menarik dikelilingi pelbagai jenis tanaman hiasan.
ANTARA ruang santai yang menarik dikelilingi pelbagai jenis tanaman hiasan.

Menariknya lagi, rumah mereka yang lama mempunyai warna asal putih dalam dan luar menjadikan perabot lama dimiliki menonjol serta sesuai dengan konsep yang diinginkan.

"Rumah ini saya tidak ubah dari segi warna cat kerana ingin mengekalkan nilai estetikanya. Walaupun ia sudah tampak pudar, tetapi apabila dipadankan dengan perabot dan susunan yang bersesuaian, warna lama itu mempunyai nilai yang mahal.

"Pada masa sama, ia juga adalah bagi menghargai nilai sejarah rumah ini sendiri dan mengekalkan nostalgia yang ada padanya. "Dalam kata lain walaupun ia lama, tetapi mahal pada nilai seninya," katanya.

Lebih menarik, rumah lot sudut itu juga mempunyai pelbagai pokok hiasan yang unik. Ia bukan sahaja menjadi landskap di luar rumah yang cukup teratur, malah melengkapkan aksesori dalam rumah.

SUSUNAN pokok yang menarik di luar rumah.
SUSUNAN pokok yang menarik di luar rumah.

Nurhadzlena berkata, dia serius untuk menjaga tanaman perhiasan jenis berdaun seperti tanduk rusa, Ficus umbellata dan kaktus sejak 2019. Malah pokok itu bukan sahaja berada di luar rumah untuk dijadikan landskap halaman, tetapi turut berperanan sebagai aksesori.

"Bagi pokok pula, saya lebih suka tanaman hiasan berdaun dan perlu bijak menyusunnya mengikut bentuk daun supaya ia mampu menonjolkan hasil hiasan yang menarik.

"Tidak mencampurkannya dengan pokok yang jenis berbunga kerana ia dilihat menghasilkan keharmonian tersendiri," katanya.

Katanya, bagi memastikan keadaan pokok dalam rumah dalam keadaan baik, dia sentiasa mempraktikkan cara mengubah kedudukan pokok yang dimiliki supaya mampu mendapat pencahayaan baharu yang lebih baik.

HADAPAN pintu masuk yang mempunyai pelbagai pokok hiasan menjadi ‘bidai’ di luar rumah.
HADAPAN pintu masuk yang mempunyai pelbagai pokok hiasan menjadi ‘bidai’ di luar rumah.

"Sebenarnya saya kerap mengubah susun atur penataan. Mungkin sebulan adalah sekali atau dua kali. Jadi, ketika mengubah kedudukan perabot itu, saya membawa masuk pokok di luar dan letak dalam dan di dalam juga diubah untuk diletakkan di luar," katanya.

Katanya, dengan praktik itu, pokok berada dalam keadaan baik. Selain itu, penjagaan pokok juga memerlukan komitmen daripada pemilik supaya ia sentiasa dalam keadaan sihat walaupun berada dalam rumah.

"Saya beruntung kerana rumah saya ini mempunyai tingkap yang banyak, jadi saya selalu membuka tingkap dan pintu bagi pencahayaan yang baik dalam rumah selain itu memberi khasiat kepada tumbuhan yang dijadikan aksesori rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:20 AM