RUANG tamu yang menggunakan kombinasi warna menarik.
RUANG tamu yang menggunakan kombinasi warna menarik.
Muhamaad Razis Ismail


TINGGAL di rumah sewa bukanlah alasan untuk tidak memenuhi keinginan memiliki dekorasi eksklusif.

Itu yang dizahirkan Nur Shamira Khrul Anuar dan suaminya, Ii'zzul Naimmullah Zul masing-masing berusia 29 tahun terhadap rumah teres yang disewa mereka di Batu Caves, Selangor sejak 11 bulan lalu.

Pasangan itu memilih konsep bohemian dan scandinavia untuk menyerikan ruang tamu kediaman berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

Malah, dia turut berkongsi idea dekorasi itu di Facebook sehingga mendapat maklum balas positif daripada netizen.

Kediaman itu yang nampak ringkas namun masih mampu menarik perhatian setiap mata yang memandang.

Susun atur perabot di ruang dalaman juga tersusun menarik, kemas dan menampakkan suasana lebih luas selain tidak terlalu padat.

NUR Shamira bersama suaminya, Ii’zzul Naimmullah.
NUR Shamira bersama suaminya, Ii’zzul Naimmullah.

Malah kombinasi warna bumi nampak seimbang dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Nur Shamira juga mengakui, dia menggunakan pelbagai pokok hiasan hidup dan tiruan termasuk

Ficus elastica, Money plant dan Fiddle Leaf Fig yang disusun dengan baik untuk nampak lebih segar.

Malah ada juga, yang meminta panduan daripada Nur Shamira cara untuk menghias kediaman menjadi lebih menarik.

Nur Shamira berkata, tidak salah untuk mencipta dekorasi untuk kediaman yang disewa demi memberi keselesaan dan terapi kepada penghuninya.

Katanya, keadaan di dalam rumah sama ada rumah sewa atau sebaliknya menggambarkan peribadi seseorang.

HIASAN di dinding yang menarik perhatian pengunjung yang datang.
HIASAN di dinding yang menarik perhatian pengunjung yang datang.

"Ada sesetengah pihak yang beranggapan menzahirkan dekorasi rumah sewa adalah pembaziran kerana ia bukan kediaman sendiri.

"Sebaliknya, saya berpandangan bahawa ia tidak salah asalkan tidak berlebihan kerana dekorasi yang dicipta itu dapat memberi keselesaan penghuninya," katanya.

Jurusolek itu memaklumkan dia dan suami hanya memperuntukkan kira-kira RM1,000 saja untuk menghias ruang tamu rumah sewanya itu.

"Saya banyak jual perabot lama yang tidak digunakan untuk menampung kos membeli perabot baru yang dibeli secara dalam talian.

"Untuk langsir, saya minta bantuan ibu jahitkan," katanya.

Menurutnya, idea untuk membuat dekorasi rumahnya itu tercetus menerusi carian di Internet.

Katanya, biarpun tidak memiliki latar belakang mengenai hiasan dalaman, dia menjadikan aplikasi Pinterest sebagai rujukan.

"Pada masa sama, saya menggunakan tema warna bumi supaya nampak lebih harmoni dan tidak serabut.

ANTARA pokok hiasan memberi kesegaran di dalam rumah.
ANTARA pokok hiasan memberi kesegaran di dalam rumah.

"Perabot juga tidak banyak supaya ruang yang agak terhad nampak lebih luas," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Malah tidak dinafikan dia dan suami gemar menggunakan perabot dihasilkan daripada kayu untuk disesuaikan dengan warna yang diketengahkan.

"Saya gabungkan ruang tamu dengan ruang makan. Oleh itu saya perlu pastikan susun atur perabot antara ruang mampu mencipta kesinambungan dan keselesaan buat kami sekeluarga," katanya.

Di samping itu, Nur Shamira turut berkongsi saranan supaya berpada-pada dalam hal membuat pengubahsuaian yang besar.

Mengenai perancangan masa hadapan pula, Nur Shamira bercadang untuk menterjemahkan dekorasi di luar rumah dengan pelbagai jenis pokok hiasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 7:00 AM