Ruwaida Md Zain

Klang: Penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran, di sini terkejut apabila air Sungai Aur terletak bersebelahan kediaman mereka, bertukar warna biru sejak pagi hari ini.

Penduduk pangsapuri itu, CR Moganadash, 44, berkata, isterinya memberitahu melihat air sungai itu bertukar warna kepada biru sedikit demi sedikit sejak 9 pagi.

"Rumah kami tingkat lapan dan isteri saya ternampak air sungai itu bertukar kepada biru ketika menyidai baju, memang nampak jelas air sungai berwarna biru dari atas.

"Warna biru itu sedikit demi sedikit mengalir sebelum memenuhi sungai berkenaan. Pada 12 tengah hari, seluruh sungai sudah biru dan warna semakin gelap.

"Penduduk amat terkejut dengan perubahan warna air ini. Ini kali pertama berlaku sejak saya tinggal di sini 18 tahun lalu," katanya.

Menurutnya, dia amat bimbang pencemaran air itu memberi kesan jangka panjang penduduk dan sudah memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran berhubung perkara itu.

"Saya bimbang kesan pencemaran ini kerana kami tidak tahu bahan apa sudah memasuki sungai ini.

"Kami berharap semua pihak berwajib dapat menyelesaikan pencemaran ini kerana bimbang kesannya kepada penduduk," katanya.

Ada penduduk mendakwa, pernah berlaku limpahan air sungai berkenaan sekiranya hujan lebat tanpa henti.

Tinjauan wartawan di lokasi berhampiran Pintu Air Pandamaran itu pada 2 petang hari ini mendapati, warna air sungai itu biru dan kotor, namun tidak mengeluarkan bau.

Wartawan turut meninjau keadaan Sungai Aur dari tingkat 12 Blok B taman perumahan itu dan mendapati warna air bertukar biru hingga ke pintu air berkenaan.

TINJAUAN keadaan air Sungai Aur yang berwarna biru di Taman Permai Indah, Pandamaran. FOTO Ruwaida Md Zain
TINJAUAN keadaan air Sungai Aur yang berwarna biru di Taman Permai Indah, Pandamaran. FOTO Ruwaida Md Zain

Air berwarna biru di Sungai Aur itu dalam keadaan 'air termenung' dan tidak mengalir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Selangor, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi, memaklumkan ada menerima aduan mengenai kejadian air biru itu.

"Kami sudah mengambil sampel dan menjalankan penjejakan punca sejak pagi tadi.

"Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 4:26 PM