Muhamaad Razis Ismail


TERLETAK di kawasan perkampungan di Masjid Tanah, Melaka siapa sangka ada sebuah rumah banglo tersergam indah yang pasti membuatkan sesiapa sahaja terpukau melihat keindahan reka bentuknya.

Dari luar, rumah berkeluasan 1,540 kaki persegi itu mengetengahkan konsep tradisional moden yang sesuai dengan suasana berada di sebuah kampung dengan penggunaan tangga dan beranda.

Bagaimanapun, apabila melangkah masuk dalam rumah milik Hafidah Abdul Ghafar, 44, ini suasana terus berubah 180 darjah dengan konsep rumah kedesaan moden pada ruang dalamannya.

Di ruang tamu, pengunjung boleh melihat ciri-ciri wajib untuk tema kedesaan Inggeris iaitu pendiang api yang dipadankan dengan tumbuhan hijau dan perabot daripada rotan.

Ruang yang ini dikhaskan untuk melayan tetamu itu dilihat begitu selesa dan lebih santai.

Untuk satu lagi ruang tamu, ada sebuah kabinet dua dalam satu yang dilengkapi pintu ban untuk 'menyembunyikan' televisyen.

REKA bentuk rumah yang mengetengahkan konsep tradisional moden.
REKA bentuk rumah yang mengetengahkan konsep tradisional moden.

Hafidah berkata, pembinaan rumah ini mula dijalankan pada November 2020 dengan memilih konsep tradisional moden yang bersesuaian dengan budaya kampung.

"Sepatutnya pembinaan rumah ini dapat disiapkan pada Februari 2021, namun kekangan pandemik Covid-19 menyebabkan tempoh itu dianjakkan ke April 2021.

"Keseluruhan bajet bahagian luar rumah saja menelan belanja RM250,000 manakala untuk kos ruang dalaman dan perabot pula menelan belanja RM50,000," katanya.

Menurutnya, untuk bahagian luar, dia mengambil inspirasi seni bina rumah Thailand dan Melaka menggunakan bentuk tangga limas dan beranda tinggi.

"Apabila proses pembinaan bermula, saya mengolah kembali tema dekorasi luar dan dalam kepada tema sedikit kedesaan Inggeris. Pemilihan kedua-dua tema ini kerana ia tidak lapuk ditelan zaman dan akan terus kekal cantik sepanjang masa.

KABINET yang mempunyai dwifungsi.
KABINET yang mempunyai dwifungsi.

"Penetapan tema dalam sesebuah rumah amat dititikberatkan supaya ia seiring konsep yang ingin diketengahkan.

"Kebanyakan perabot dibeli daripada peniaga tempatan. Memandangkan rumah ini mempunyai dua ruang tamu, setiap ruang mempunyai cita rasa berbeza daripada segi penataan hiasan dalaman termasuk penggunaan perabot," katanya.

Dia berkata, perabot menjadi daya tarikan adalah kabinet televisyen yang menggunakan pintu ban.

"Apabila pintu ditutup, ia akan menjadi sebuah kabinet buku," katanya.

Mengulas lanjut, inspirasi rekaan dalaman diperoleh daripada Pinterest dan beberapa kumpulan media sosial yang banyak berkongsi panduan menata hias rumah.

RUANG makan yang menarik dan selesa.
RUANG makan yang menarik dan selesa.

"Semua maklumat ini saya olah sendiri untuk disesuaikan dengan pelan lantai rumah dan konsep yang akan saya gunakan. Saya berikan komitmen sepenuhnya bermula daripada pelan lantai sehingga dekorasi rumah.

"Saya lebih selesa untuk mereka sendiri konsep rumah yang diinginkan apatah lagi mempunyai latar belakang dalam bidang menata hias rumah. Secara tidak langsung ia dapat menjimatkan kos daripada menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman," katanya.

Jelasnya, dia cenderung memilih rona putih dan natural untuk menampakkan sesebuah ruang itu luas, tinggi dan tidak lapuk ditelan zaman.

"Pada masa sama, warna ini amat bertepatan dengan tema kedesaan yang diketengahkan," katanya.

Diminta berkongsi panduan menghias rumah, Hafidah menasihatkan pemilik rumah supaya tidak melakukan kesilapan dalam memilih konsep susun atur dekorasi.

"Aspek ini perlu dititikberatkan kerana kesilapan boleh menampakkan ketidak seragaman dalam konsep dekorasi rumah yang diketengahkan.

"Dalam menata hias rumah tidak perlu terlalu tergesa-gesa terutama yang baru mendapat kunci. Biar lambat

asalkan puas di mata kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 7:00 AM