RUANG kegemaran Nurfarahin ialah dapur membabitkan penggunaan tekstur kayu ‘raw’ dan warna putih.
RUANG kegemaran Nurfarahin ialah dapur membabitkan penggunaan tekstur kayu ‘raw’ dan warna putih.
Nurul Husna Mahmud


DEKORASI ruang kediaman dihuni Nurfarahin Ramli, 30, bersama suami dan dua cahaya mata ini nyata mempunyai keunikan tersendiri. Ia menggabungan beberapa konsep yang berbeza.

Kata ibu muda berkenaan, idea 'fusion' beberapa konsep atau tema yakni skandinavia dan 'mid century' bagi ruang tertentu dalam kediaman itu membantu dirinya dan keluarga tidak jemu dengan suasana itu. Selain melihat ia praktikal baik dari dari segi fungsi atau bajet keluarganya.

"Tiada spesifik tema dipilih apabila saya mula berpindah ke rumah ini sejak tahun 2017 lalu. Sebaliknya saya menata hias sesuatu ruang dengan perabot ada selain mengambil kira bajet atau kos yang diperlukan.

"Sebagai suri rumah, saya harus utamakan keperluan lain terutama anak-anak dan kemampuan suami supaya kos menghias kediaman ini tidak membebankan.

"Jadi konsep utama atau prinsip dalam saya memilih perabot atau perincian, ditekankan baik cita rasa saya dan suami perlulah minimalis selain ruang terbuka sesuai untuk anak bebas bergerak dalam rumah,"katanya.

Dia yang juga memiliki kelulusan dalam bidang kimia itu menyifatkan 'pinterest' antara 'guru' paling ideal untuk dia tampil dengan konsep tersendiri dan tidak rigid terhadap satu-satu konsep.

PEMBAHAGI ruang mengikut rekaan diingini membantu ruang tampak lebih luas.
PEMBAHAGI ruang mengikut rekaan diingini membantu ruang tampak lebih luas.

"Rujukan saya sehinggalah terhasil ruang-ruang dengan dekorasi ini pastinya 'pinterest'. Saya ini tidak ada pembelajaran formal tetapi semua atas dasar minat apatah lagi selepas berkahwin berpindah ke rumah sendiri, saya isi masa dan minat itu untuk hias ruang seperti diimpikan.

"Setakat ini suami tiada masalah kerana kami mempunyai cita rasa sama dalam pilihan perabot ataupun konsep tata hias ruang yang ada. Tetapi 'highlight' dalam keseluruhan projek menghias kediaman ini ialah perabot diwarisi daripada ibu mentua.

"Istimewanya kerusi kayu berusia 60 tahun. Nilai sentimental itu cukup tinggi apabila ibu mentua saya sanggup menyerahkan perabot kesayangan untuk kami dan dimuatkan di ruang tamu utama.

"Kayu sebelum zaman perang Jepun itu menjadi fokus dalam susun atur dan pemilihan konsep apabila saya merujuk ke 'pinterest' mendapati kombinasi gaya 'mid century' paling sepadan," katanya.

ALMARI asal berwarna putih digubah sendiri oleh Nurfarahin.
ALMARI asal berwarna putih digubah sendiri oleh Nurfarahin.

Tidak menolak selain ruang tamu antara paling mencabar daripada pemilihan tema sehinggalah perabot, ruang kegemarannya iaitu dapur menjadi kemuncak kepada semua kerja-kerja tata hias.

"Kalau cabaran untuk perincian bagi ruang, suka saya kongsikan pengalaman ketika menyiapkan dekorasi ruang dapur yang mana mengambil masa tidak kurang enam bulan.

"Bahagian paling susah ialah pemisah di dapur yang mana saya cari sendiri kontraktor lebih kurang tiga hingga empat bulan dan menilai mana yang paling menepati kos serta†kualiti kerja termasuk penggunaan material seperti dalam pelan.

"Untuk bahagian dapur terutama kabinet, hampir 80 peratus adalah IKEA dan meja pulau di tengah juga menggunakan daripada gudang perabot ternama itu kerana konsep skandivia diguna pakai pada ruang berkenaan,"katanya.

Tidak lupa menggunakan kreativiti dan mahu sesuatu ruang itu tampak unik, Nurfarahin juga tidak terkecuali menggunakan konsep lakukan sendiri (DIY) pada perabot sedia ada.

GAYA lebih moden pada bilik tidur.
GAYA lebih moden pada bilik tidur.

"Sebab pilihan perabot agak terhad dari segi rekaan dan perincian, saya terpaksa ubah suai supaya ia menepati konsep atau 'visualized' diingini.

"Sebagai contoh perabot IKEA berwarna putih polos dan kosong, saya ubah sikit dengan suntikan etnik apabila adanya anyaman seperti tikar daripada rotan atau buluh dipotong dan dilekatkan di bahagian hadapan almari kasut. Hasilnya sepadan dengan konsep warna kayu seperti aksesori lain pada ruang berkenaan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 7:00 AM