CHIENG Yen Community House terletak di kawasan hutan rekreasi di daerah Van Ho, Wilayah Son La.
CHIENG Yen Community House terletak di kawasan hutan rekreasi di daerah Van Ho, Wilayah Son La.
Hafiz Ithnin


TAMAN rekreasi menawarkan keindahan alam semula jadi dan menarik untuk dikunjungi. Sesuai dengan fungsinya, aktiviti rekreasi seperti berlari dan berjalan sambil menghirup udara segar menjadi acara harian yang menghidupkan taman ini.

Bagi taman rekreasi yang sering dikunjungi ramai khususnya pelancong asing, pastinya menawarkan keunikan sekali gus menarik untuk rakaman fotografi.

Di Vietnam, ada sebuah pentas terbuka dengan reka bentuk unik rekaan firma arkitek 1+12 yang dikenali sebagai Chieng Yen Community House terletak di kawasan hutan rekreasi di daerah Van Ho, Wilayah Son La.

PEMANDANGAN yang menarik sesuai dengan kedudukan pentas bercirikan alam semula jadi.
PEMANDANGAN yang menarik sesuai dengan kedudukan pentas bercirikan alam semula jadi.

Menariknya, 1+12 bijak mengadunkan sebuah pentas terbuka yang kelihatan sebati dengan suasana alam semula jadi terutama air terjun sebagai latarnya.

Dari jauh kelihatan bumbung pentas berkenaan bagaikan sekeping sabut kelapa yang berbentuk melengkung. Sebenarnya, konsep bumbung berkenaan diilhamkan daripada hiasan kepala yang dipakai etnik tempatan dalam acara tarian.

Menggunakan material campuran batu dan bahan semula jadi seperti buluh menjadikan pentas itu sepadan dengan konsep moden serta tidak melupakan unsur alam.

Elemen buluh digunakan sebagai tiang kecil yang menyokong bumbung kelihatan begitu unik dan menonjol meskipun terdapat dinding konkrit digunakan arkitek di beberapa bahagian.

Bagaimanapun, hiasan dalaman menggunakan buluh kelihatan ‘serabut’ itu sebenarnya berjaya menawarkan pengalaman pemandangan yang luar biasa dengan keindahan desa di depan mata.

BAHAGIAN bawah pentas yang turut mendapat sentuhan dekorasi.
BAHAGIAN bawah pentas yang turut mendapat sentuhan dekorasi.

Di pentas itu juga terdapat beberapa bahagian yang menempatkan cermin telus sekali gus membantu ruang itu menerima pencahayaan asli dari luar.

Malah pentas itu juga sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu ruang utama yang lebih besar dan ruang kedua terletak di bawah pentas yang agak rendah antara lantai serta bumbung.

Meskipun ruang itu mungkin digunakan sebagai tempat menyimpan barangan, arkiteknya tetap tidak menafikan perincian untuk mengindahkannya dengan lampu hiasan.

Di bahagian tangga pentas juga, material kayu yang dipotong, dijadikan tangga dengan jeriji besi sebagai pemegangnya. Gabungan ini juga kelihatan unik! Terletak di kawasan yang mudah diakses penduduk kampung dan pelancong ke daerah itu memberi gambaran, pentas berkenan mampu menawarkan tarikan.

PENTAS itu sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu ruang utama yang lebih besar dan ruang kedua terletak di bawah pentas yang agak rendah antara lantai serta bumbung.
PENTAS itu sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu ruang utama yang lebih besar dan ruang kedua terletak di bawah pentas yang agak rendah antara lantai serta bumbung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 4:30 AM