KOTAK berbentuk sarang lebah pada dinding bangunan atasi masalah ruang kediaman.
KOTAK berbentuk sarang lebah pada dinding bangunan atasi masalah ruang kediaman.
Susunan Zaitie Satibi

Gelandangan adalah masalah sosial yang dihadapi kebanyakan bandar besar di seluruh dunia. Segelintir memilih hidup bergelandangan kerana masalah kewangan hingga terpaksa tinggal merempat disebabkan tidak mampu menyewa bilik apatah lagi rumah.

Malah gelandangan juga salah satu fenomena negara membangun. Cara untuk menanganinya juga sangat berbeza dan sememangnya tidak mudah tanpa perancangan serta idea yang kreatif.

Di New York, Amerika Syarikat, dicadangkan pemasangan kotak berbentuk sarang lebah pada dinding kosong bangunan untuk dijadikan kediaman populasi gelandangan yang semakin berkembang dan ia dikemukakan agensi kreatif, Framlab.

Oslo dan Framlab yang berpangkalan di bandar raya berkenaan membangunkan skim kediaman dikenali sebagai Homed.

Ia juga sebagai maklum balas kepada jumlah penduduk yang tidur merata-rata di kawasan bandar meningkat 40 peratus sejak 2012.

Disebabkan tanah sedia ada sangat mahal dan terhad, cadangan Framlab menggunakan ruangan kosong pada dinding bangunan untuk dibina tempat perlindungan sementara antara pendekatan yang dilihat relevan.

Skim ini membayangkan pembinaan perancah ke bahagian depan bangunan tanpa jendela di seluruh bandar dengan menyuntik modul berbentuk heksagon (segi enam).

Jurucakap Framlab berkata, walaupun setiap kaki persegi di bandar raya itu digunakan sepenuhnya, masih ada ruang yang belum digunakan. Ia adalah dinding pada sisi bangunan yang boleh berfungsi ibarat tanah untuk pembinaan.

SETIAP ruangan boleh dihuni seorang.
SETIAP ruangan boleh dihuni seorang.

Akses kepada kediaman berkenaan adalah tangga yang dibina antara rangka perancah. Framlab memilih struktur ini kerana ia boleh dipasang atau dibuka dengan mudah dan cepat menjadikan sistem ini dapat diadaptasi jika pembinaan dimulakan.

Sistem ‘parasit’ (menumpang bangunan) ini adalah sama dengan cadangan daripada pereka arkitek, James Furzer yang membina ruang tidur sementara untuk gelandangan di London, tetapi ia dibina daripada kayu.

Namun, kotak pasang siap Framlab ini bahagian luarannya akan dibina daripada kerangka aluminium supaya mampu bertahan dengan cuaca buruk, sementara struktur dinding dalaman dengan cetakan 3D dibina daripada polikarbonat kitar semula.

Tingkap kaca pintar yang dipasang di bahagian depan kotak akan menawarkan pemandangan kepada penghuni. Malah, tingkap kaca itu juga boleh digunakan untuk memaparkan karya seni atau iklan untuk merapikan dinding kosong.

DINDING kosong bangunan ganti tanah.
DINDING kosong bangunan ganti tanah.

Sistem perumahan solo ini mengingatkan kepada unit penghuni bilik tunggal (SRO) yang dihentikan antara 1950-an dan 1970-an yang sebelum ini menyediakan penginapan kos rendah untuk satu atau dua orang.

Kotak perlindungan Homed akan dilengkapi papan lapis untuk mewujudkan persekitaran mesra alam. Strukturnya termasuk rangka tempat tidur dan unit penyimpanan akan dicetak dengan kaedah 3D daripada bioplastik iaitu polimer berasaskan tumbuhan yang boleh terurai apabila dilupuskan.

Pengasas Framlab iaitu pereka Norway Andreas Tjeldflaat mengakui, cadangan Homed tidak akan menyelesaikan krisis gelandangan secara menyeluruh, tetapi sekurang-kurangnya pereka sepertinya dapat menyumbang sesuatu dalam permasalahan golongan tiada tempat tinggal.

RUANGAN menempatkan tempat tidur dan penyimpanan barang.
RUANGAN menempatkan tempat tidur dan penyimpanan barang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 12:44 AM