ANTARA anggerik yang dipamerkan.
ANTARA anggerik yang dipamerkan.
Zaitie Satibi

Mungkin ramai yang tidak tahu vanila yang sering dijadikan bahan perisa dalam makanan dan minuman adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga anggerik yang berasal dari Mexico kini banyak ditanam di kawasan tropika.

Fakta berkenaan bunga itu disampaikan Presiden Kelab Anggerik Shah Alam Datuk Anuar Bashah dalam bengkel anggerik yang diadakan sempena penganjuran Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.

Anggerik atau orkid adalah bunga yang cukup istimewa dan popular dalam kalangan penggemar bunga eksotik kerana ia hadir dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna memikat.

Malah, kepelbagaian warna, corak dan bentuk menjadi faktor utama tumbuhan liar yang mempunyai habitat di kawasan hutan ini popular sebagai bunga dalam taman, premis atau kedai.

PENGUNJUNG tertarik dengan aneka bunga anggerik dari pelbagai jenis.
PENGUNJUNG tertarik dengan aneka bunga anggerik dari pelbagai jenis.

Anuar berkata, menanam anggerik tidak sukar berikutan penjagaannya lebih kurang sama dengan tanaman hiasan lain. Namun, apa yang penting adalah pengetahuan berkenaan keperluan hidupnya.

“Anggerik memerlukan persekitaran yang sesuai dan perlu disiram atau dibaja secukupnya. Tumbuhan ini akan hidup subur jika rutin penjagaan dikekalkan dan penyelenggaraan yang betul.

“Bagaimanapun, anggerik yang terdapat dalam pelbagai jenis memerlukan cara penjagaan yang berlainan. Faktor yang perlu diberi perhatian adalah keperluan air, cahaya matahari, baja dan penyakit yang mengganggu,” katanya.

ANUAR menunjukkan bahagian pokok anggerik yang mudah terkena penyakit.
ANUAR menunjukkan bahagian pokok anggerik yang mudah terkena penyakit.

Katanya, jenis anggerik yang banyak terdapat di negara ini disebabkan permintaannya yang tinggi adalah dendrobium, phalaenopsis, vanda, cattleya dan oncidium.

“Baik anggerik hutan mahupun hibrid sifatnya menarik, membuatkan ramai menjadikan aktiviti menanam tumbuhan ini sebagai hobi yang dapat memberikan kepuasan, selain satu bentuk terapi.

“Malah, disebabkan tertarik dengan kepelbagaian warna dan bunga yang unik, ramai sanggup meredah kawasan hutan untuk mencari pelbagai spesies anggerik hutan termasuk ke luar negara bagi mendapatkan spesies berlainan daripada yang terdapat di negara ini,” katanya.

PELBAGAI jenis anggerik yang dipamerkan.
PELBAGAI jenis anggerik yang dipamerkan.

Bagi menjamin pertumbuhan yang baik termasuk penghasilan bunga berkualiti, perlu difahami secara terperinci segala keperluannya. Ia membabitkan medium penanaman bersesuaian, keperluan persekitaran dan cara menjaganya.

“Anggerik jenis cattleya sangat diminati disebabkan saiz bunga yang besar, kombinasi warna pelbagai, malah segelintir berbau wangi. Cattleya adalah anggerik simpodial iaitu tumbuh melalui rizom atau bebawang dan tiada batang utama.

“Anggerik cattleya juga biasanya ditanam dalam pasu dengan medium utama pecahan batu-bata dan arang, tetapi bagi jenis yang hidup berjuntai ia ditanam dengan mengikat pada kayu,” katanya.

PEMBANTU Pertanian Jabatan Landskap MBSA Ummu Salamah Abu Bakar bersama anggerik jenis cattleya yang menjuarai pertandingan anggerik sempena Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018.
PEMBANTU Pertanian Jabatan Landskap MBSA Ummu Salamah Abu Bakar bersama anggerik jenis cattleya yang menjuarai pertandingan anggerik sempena Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018.

Bagi jenis dendrobium, ia adalah famili anggerik yang terbesar dan amat popular dalam kalangan penggemar anggerik disebabkan mudah dijaga, kepelbagaian warna bunga dan harga yang murah.

Anggerik jenis ini juga mendapat permintaan tinggi dalam pasaran dunia sebagai bunga keratan. Ribuan hibrid daripada dendrobium dihasilkan sehingga kini dan bunganya biasa dijadikan barangan kraf seperti kerongsang dan diawet untuk dibingkaikan sebagai hiasan dinding.

BENGKEL anggerik dikendalikan Anuar kepada peminat bunga itu yang ingin menambah ilmu.
BENGKEL anggerik dikendalikan Anuar kepada peminat bunga itu yang ingin menambah ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 8:27 AM