VARIASI taman lebih menonjol dengan keunikan bunga orkid.
VARIASI taman lebih menonjol dengan keunikan bunga orkid.
Muhamad Adli Salihin Samsudin

Salam estetika kepada pembaca. Untuk tatapan minggu ini, saya akan berkongsi informasi berkenaan keunikan tanaman orkid di laman. Orkid adalah tanaman yang mempunyai bilangan spesies paling banyak di dunia.

Namun ia hanya mempunyai dua jenis pertumbuhan saja iaitu simpodial dan monopodial. Dua jenis ini memainkan peranan jika ingin membina laman berasaskan orkid. Orkid dari jenis simpodial mengalami pertumbuhan secara serumpun dan boleh ditanam di tanah. Sementara jenis monopodial pula, pertumbuhannya secara menegak dengan daun dan akar udara keluar melalui sisi pada batang tumbuhan itu.

Antara genus atau genera orkid yang biasa digunakan bagi tujuan keceriaan laman adalah Dendrobium, Oncidium, Phalaenopsis, Vanda, Cattleya, Spathoglottis, Renanthera, Arundina dan Grammatophylum.

Selain mempunyai sifat pertumbuhan yang berbeza, antara kelebihan memilih tanaman itu sebagai penyeri laman kediaman ialah bentuk bunganya yang unik, berbeza dan pelbagai warna. Malah, corak bunga yang menarik dan kelihatan sangat bertenaga selain menghasilkan haruman menarik perhatian. Terkenal juga dengan sifatnya yang menjalar dan epifit, orkid juga boleh ditanam dengan pelbagai gaya penataan sama ada secara menegak atau sebagai tanaman gantung. Uniknya tanaman ini juga sesuai untuk pelbagai konsep taman.

 PHALAENOPSIS bellina antara bunga orkid yang harum.
PHALAENOPSIS bellina antara bunga orkid yang harum.

Penggabungan pelbagai jenis tanaman hiasan dengan orkid secara tidak langsung menghasilkan impak visual yang berkesan dan menarik serta tidak jemu dipandang. Dalam menambahkan seri ruang dalaman pula, tanaman itu tidak kurang auranya jika dijadikan jambangan indah berasaskan keratan bunga segar.

Orkid juga hanya menggunakan media seperti batu-bata dan arang kayu sebagai bahan utama dalam pembiakannya. Sementara kaedah pembiakan yang mudah ini memberi peluang kepada sesiapa saja untuk menjadikan orkid antara tanaman pilihan sama ada sekadar hobi atau komersil.

Namun, beberapa aspek yang penting dalam memastikan tanaman itu sentiasa menghasilkan bunga dan subur. Paling penting aspek pengurusan penjagaan yang baik dan konsisten. Tanaman memerlukan air yang banyak. Siraman hendaklah dilakukan setiap awal pagi dan lewat petang dengan kekerapan dua hari sekali. Di samping aktiviti pembajaan yang kerap iaitu sekali seminggu. Begitu juga dengan kawalan perosak dan penyakit yang seharusnya perlu dilakukan dengan selamat serta teratur. Elakkan menggunakan bahan kimia secara berlebihan.

 SUSUN atur orkid yang tampil dengan pelbagai bentuk dan warna.
SUSUN atur orkid yang tampil dengan pelbagai bentuk dan warna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:00 AM