Rafizi Ramli bersama  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara DBKL yang diwakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Majlis Perbandaran Hangzhou yang diwakili Timbalan Datuk Bandar Hangzhou, Chen Jin pada Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Rafizi Ramli bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara DBKL yang diwakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Majlis Perbandaran Hangzhou yang diwakili Timbalan Datuk Bandar Hangzhou, Chen Jin pada Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia menyasarkan untuk menarik unicorn global memasuki Malaysia dengan "Unicorn Golden Pass" supaya pekerjaan berkemahiran tinggi dan bernilai tinggi dapat diwujudkan, selain membangunkan saluran perhubungan usahawan masa depan dan pemimpin kanan dalam teknologi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

"Melalui pelabur dan bakat yang sesuai di Malaysia, kita akan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan Asia Tenggara bagi syarikat teknologi global, dengan Unicorn Golden Pass," katanya dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak KL20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia menawarkan pakej insentif, termasuk pengecualian yuran untuk pas penggajian bagi pengurusan kanan, sewa bersubsidi, kadar cukai konsesi terhadap keuntungan korporat, perkhidmatan penempatan semula, dan concierge syarikat pemula niaga yang menguruskan pendaftaran belakang tabir pada permulaan.

Beliau berkata KL20 mewakili hasrat negara untuk membawa Malaysia dalam 20 ekosistem syarikat pemula niaga terbaik dunia dan dalam konsep ini merupakan penekanan kepada pragmatisme serta tindakan.

Menurut Rafizi, KL20 menjangkau rancangan dan pelan tindakan, malah dilengkapi dengan tindakan yang bermula hari ini, termasuk "VC Golden Pass," "Innovation Pass," "Unicorn Golden Pass," "GPU Scheme," "Innovation Belt" dan "Single Window."

"Selain Kertas Analisis yang akan kami lancarkan hari ini, kami akan memperkenalkan skim yang boleh digunakan serta-merta," katanya.

Pelan Tindakan KL20 menggariskan inisiatif baharu yang akan mempercepat bidang kritikal ekosistem syarikat pemula niaga iaitu modal, bakat dan kualiti syarikat pemula niaga.

"Matlamatnya adalah untuk Malaysia menjadi destinasi pilihan modal peringkat awal dan pertumbuhan; menjadi pusat usahawan bertaraf dunia dan bakat berkemahiran; dan sebagai lokasi bagi syarikat pemula niaga terkemuka dunia yang ingin bermula, berkembang dan berskala," katanya.

Menerusi "VC Golden Pass," beliau berkata kerajaan mahu pemodal teroka terkemuka dunia, dengan kecanggihan sumber teroka dan capaian global, menjadikan Malaysia sebagai lokasi.

"Kami menawarkan beberapa siri insentif, termasuk peluang akses pembiayaan rakan kongsi terhad, ruang pejabat bersubsidi, pendaftaran lesen dipercepat dan pengecualian yuran untuk pas pekerjaan," katanya.

Katanya menerusi "Innovation Pass," kerajaan berusaha untuk meluaskan kumpulan bakat berkemahiran tinggi dalam negara dengan pengenalan program pas pekerjaan berbilang peringkat yang memberi manfaat yang disesuaikan kepada pengasas, pengurusan kanan, bakat berkemahiran tinggi dan bakat am dalam teknologi.

"Bagaimanapun, walaupun dengan semua ini, kita mengakui bahawa teknologi terbaik dan paling cemerlang tidak akan memasuki Malaysia sekiranya infrastruktur kecerdasan buatan tidak disokong dengan baik," katanya sambil memaklumkan Malaysia akan menumpukan untuk mendapatkan kapasiti yang lebih besar bagi cip berkomputer tinggi dalam pusat datanya.

Beliau berkata kerajaan sedang memperkenalkan Skim GPU (Unit Pemprosesan Grafik) KL20 untuk syarikat pemula niaga dan firma teknologi menyediakan penyelesaian kejayaan cemerlang di barisan hadapan teknologi AI, dan menawarkan infrastruktur yang diperlukan untuk berbuat demikian adalah penting.

Mengenai "Startup Single Window," Rafizi berkata ia akan berperanan sebagai pusat sehenti mengenai maklumat dan aplikasi bagi ekosistem syarikat pemula niaga.

"Malaysia berkait rapat dari segi geografi dan budaya dengan pasaran terbesar dunia: Asia Tenggara, Asia Timur, India, dan Timur Tengah.

"Penduduk tempatan kita yang pelbagai, digabungkan dengan kemudahan digital berkualiti tinggi dan kos berpatutan, menjadikan kita sebagai tapak uji yang ideal untuk pelancaran produk dan rintis," katanya.

Beliau berkata Malaysia adalah lokasi dan pintu masuk ke Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 1:11 PM