KHAIRUL Aming. FOTO arkib NSTP
KHAIRUL Aming. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Usahawan dan pempengaruh popular, Khairul Aming mencipta rekod terpantas apabila berjaya menjual produk keduanya, Dendeng Nyet Berapi sebanyak RM1.2 juta dalam tempoh tiga minit 39 saat di platform TikTok Shop, semalam.

Khairul atau nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berkongsi yang mana sebanyak 80,000 pek habis terjual.

Menurutnya yang juga pemenang Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023, jualan bermula jam 9 malam tadi, iaitu genap tiga tahun produk pertamanya, Sambal Nyet Berapi berada di pasaran dalam talian.

"Pasukan kami bekerja kuat untuk bangunkan produk ini. Saya amat terharu dengan sokongan anda," katanya pada sesi siaran langsung di TikTok Shop.

Pada masa sama, sesi siaran langsung itu juga melakar sejarah baharu apabila meraih lebih 3.3 juta tontonan.

Berdasarkan tinjauan, kebanyakan pengguna TikTok berkongsi keterujaan mereka menunggu dan 'berjuang' untuk membeli produk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 1:38 PM