BERNAMA

Kuala Lumpur: Shopee mencatatkan jumlah pelawat tertinggi dalam sejarah bersempena dengan Jualan Hari Jadi 12.12 dengan peningkatan 20 peratus berbanding hari biasa dan kenaikan ketara sebanyak 157 kali ganda bagi aktiviti Add to Cart pada sepanjang kempen itu.

Shopee berkata, pembabitan meluas pengguna dalam kempen itu didorong oleh promosi menarik, antaranya penghantaran percuma setiap hari tanpa perbelanjaan minimum, tawaran serendah RM1 semasa 12PM Super Seringgit, baucar khas Live dan penyertaan dalam rancangan permainan Roda Shopee.

"Dalam tempoh dua jam pertama 12.12, lebih empat juta barangan terjual di Shopee Live, dengan penjual tempatan meraih peningkatan pesanan 94 kali ganda berbanding hari biasa.

"Penggunaan baucar khas Shopee Live meningkat 211 kali ganda dan penjual tempatan baharu yang menggunakan Shopee Live ketika 12.12 buat kali pertama meningkat enam kali ganda," katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Shopee berkata, rakan affiliate turut menyumbang kepada kejayaan strim langsung, yang meningkatkan aktiviti strim langsung mereka kepada 51 kali ganda selain menambah jumlah pesanan sehingga enam kali ganda di sepanjang kempen.

"Rakan affiliate berhubung dengan pengguna menerusi sesi strim langsung, memberi cadangan produk dan menerima komisen berdasarkan prestasi, sekali gus memperlihatkan hubungan yang saling menguntungkan bersama-sama penjual yang mereka promosikan," katanya.

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia Kenneth Soh berkata, Jualan Hari Jadi 12.12 menandakan peristiwa penting untuk Shopee, yang bukan sahaja mempamerkan prestasi cemerlang, malah memperlihatkan komitmen platform itu untuk menggalakkan perkembangan penjual dan memastikan kepuasan pengguna.

"Kejayaan strim langsung dan pemasaran affiliate pada 2023 membuka peluang kepada perkembangan dagangan yang lebih meluas.

"Kami komited untuk membekalkan penjual dengan alatan penting demi kejayaan e-dagang, menggunakan kuasa teknologi untuk meningkatkan keterangkuman lebih ramai penjual tempatan, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik. Komitmen ini juga diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan kerajaan," kata Soh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 8:25 AM