GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
BERNAMA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaannya, mulai esok hingga 2 Januari depan, bagi melancarkan pergerakan trafik sempena cuti perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu.

PLUS dalam kenyataan malam ini memaklumkan penutupan dilaksanakan pada setiap musim perayaan itu bertujuan mengurangkan kesesakan disebabkan pelanggan beratur di lorong tambah nilai plaza tol.

Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 18 peratus kepada dua juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari biasa.

“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi.

“Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan lain,” menurut kenyataan itu.

PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.

Justeru, PLUS menasihatkan pelanggan merancang perjalanan dan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal di 11,000 pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara, yang merangkumi mesin ATM, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak dan kedai serbaneka.

PLUS turut memaklumkan, pelanggan lebuh raya itu masih belum boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 11:51 PM