HANG Ching (kiri) dan Siow Jin bersama produk terbaru syarikat.
HANG Ching (kiri) dan Siow Jin bersama produk terbaru syarikat.
Sri Ayu Kartika Amri

SYARIKAT produk makanan kesihatan tambahan jualan langsung tempatan, DXN Holdings Bhd (DXN) merancang untuk menembusi lima pasaran baharu di peringkat global dalam tempoh tiga hingga ke lima tahun.

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, lima negara itu adalah Brazil, Argentina, Ghana, Niger dan Algeria.

Katanya, semua negara terbabit masing-masing terletak di Amerika Latin dan Afrika, mempunyai potensi pasaran yang boleh dikembangkan pada masa akan datang.

"Tahun ini, kami sudah mengembangkan operasi ke Brazil dan Argentina dan cawangan di sana dijangka beroperasi akhir tahun ini, manakala tiga lagi negara pada dua ke tiga tahun akan datang.

"Kami jangka akan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk membangunkan sepenuhnya potensi di lima pasaran baharu ini.

"Kami berharap dalam tempoh itu, kumpulan sudah bersedia sepenuhnya untuk menembusi pasaran China pula yang mana prosesnya sudah pun bermula secara berperingkat," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian DXN di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif DXN, Teoh Hang Ching.

Sementara itu, saham DXN yang membuat penampilan semula di Pasaran Utama Bursa Malaysia mencatat diskaun sebanyak satu sen pada harga 69 sen semasa dibuka semalam, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 70 sen.

Pada loceng pembukaan, kaunter itu menyaksikan 12.71 juta saham bertukar tangan.

Penyenaraian DXN adalah yang terbesar di pasaran saham tempatan untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini dan dijangka menjana RM112 juta daripada IPO berkenaan, dengan permodalan pasarannya sebelum disenaraikan dianggarkan bernilai RM3.4 bilion.

DXN sebelum ini pernah disenaraikan di Pasaran Utama pada September 2003 sebelum dinyahsenaraikan pada Disember 2011 bagi tujuan penstrukturan semula operasi syarikat berkenaan.

Mengulas mengenai penyenaraian itu, Lim berkata, pihaknya gembira dengan kejayaan penyenaraian DXN di Pasaran Utama.

"Ini adalah peristiwa penting bagi DXN dan kami menantikan banyak peluang pertumbuhan yang akan muncul pada masa depan," katanya.

DXN baru-baru ini melaporkan pendapatan melonjak sebanyak 19.3 peratus kepada RM405 juta pada suku keempat berakhir 28 Februari 2023 berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) DXN bagi suku dikaji masing-masing merekodkan jumlah positif pada RM112.4 juta dan RM57.9 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 7:20 AM