KUALA LUMPUR 1 MAC 2019. Permandangan bandaraya Kuala Lumpur. NSTP/OSMAN ADNAN
KUALA LUMPUR 1 MAC 2019. Permandangan bandaraya Kuala Lumpur. NSTP/OSMAN ADNAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia mendahului negara-negara ASEAN lain dari segi hasil tawaran awam permulaan (IPO) pada suku pertama 2022 berikutan bursa dalam blok itu mencatatkan kemerosotan jumlah hasil tahun ke tahun sebanyak 57 peratus dalam tempoh tersebut, menurut Ernst & Young (EY).

Firma perunding itu berkata bursa ASEAN menyaksikan jumlah IPO yang lebih tinggi -- 29 IPO pada suku pertama 2022 berbanding 22 pada tahun sebelumnya -- tetapi hasil merosot kepada US$1 bilion (US$1=RM4.23) daripada US$2.4 bilion sebelum ini.

"Pada suku tahun ini, Bursa Saham Indonesia (IDX) merupakan yang paling aktif dengan jumlah urus niaga (12 IPO meraih US$219 juta) manakala bursa Malaysia mendahului dengan hasil (US$362 juta melalui lima IPO)," katanya dalam kenyataan hari ini.

EY berkata kemerosotan hasil IPO ASEAN yang ketara adalah berikutan kekurangan IPO mega pada suku pertama 2022 berbanding satu IPO mega pada tahun lepas.

Max Loh, Rakan Pengurusan Ernst & Young LLP Singapura dan Brunei serta Ketua IPO EY ASEAN, berkata ketegangan geopolitik, situasi Covid-19 yang berterusan, masalah rantaian bekalan, dasar monetari yang ketat dan kos yang meningkat merupakan beberapa faktor yang menjejaskan aktiviti ekonomi dan IPO di ASEAN.

"Pasaran IPO kekal terbuka kepada syarikat pertumbuhan tinggi yang berkualiti, tetapi situasi tidak menentu dan jangkaan penilaian perlu diatasi sebelum aktiviti IPO meningkat," katanya.

Sementara itu, pasaran IPO global turut menyaksikan prestasi yang lemah pada suku pertama 2022, dengan 321 urus niaga meraih hasil US$54.4 bilion -- masing-masing merosot 37 peratus dan 51 peratus tahun ke tahun.

Sebaliknya, rantau Asia Pasifik melepasi prestasi hasil IPO pada suku pertama 2021 -- apabila ia meraih hasil tertinggi pada suku pertama dalam tempoh 21 tahun -- dengan mencatatkan 188 IPO meraih US$42.7 bilion (hasil naik 19 peratus) pada suku tahun tersebut.

Rantau itu menyumbang 78 peratus daripada hasil IPO global berikutan penyenaraian empat IPO mega.

Ketua IPO EY Global Paul Go berkata kemerosotan aktiviti IPO bukan sesuatu yang tidak dijangka jika dibandingkan dengan suku pertama 2021 berikutan suku tahun tersebut merupakan suku tahun yang paling aktif sejak 21 tahun yang lepas.

"Bagaimanapun, kejutan pasaran daripada ketegangan geopolitik dan kebimbangan ekonomi lain pada separuh kedua suku tahun tersebut mewujudkan turun naik dan memberi impak kepada pasaran modal," katanya.

Go berkata pasaran IPO global akan terus turun naik pada suku kedua 2022 dalam persekitaran banyak ketidaktentuan, dengan tunggakan calon IPO, dan urus niaga akan terus meningkat.

"Dengan cabaran semasa yang wujud daripada ketegangan dan konflik geopolitik, inflasi dan kenaikan kadar faedah, adalah penting kepada syarikat yang terikat dengan IPO untuk melihat semula bagaimana cabaran ini akan memberi impak kepada pasaran, pelanggan dan pembekal mereka terhadap perniagaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 4:46 PM