Kakitangan TH Properties menunjukkan aplikasi i-MANS pengurusan fasiliti oleh TH Properties di Dewan Besar TH, Bangunan Tabung Haji. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kakitangan TH Properties menunjukkan aplikasi i-MANS pengurusan fasiliti oleh TH Properties di Dewan Besar TH, Bangunan Tabung Haji. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Kuala Lumpur: Langkah pendigitalan TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dengan memperkenalkan aplikasi i-MANS dijangka membantu meningkatkan pendapatan dalam segmen perniagaan pengurusan fasilitinya (FM) pada masa akan datang.

i-MANS adalah sistem pengurusan penyelenggaraan bersepadu berdasarkan penyelesaian pintar berasaskan awan yang berupaya mengurus operasi dan kerja penyelenggaraan secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop, Azman Ibrahim berkata, aplikasi itu juga mampu meningkatkan kecekapan operasi kemudahan yang ditawarkan oleh segmen kumpulan FM termasuk TH Universal Builders Sdn Bhd (THUB), THP Services Sdn Bhd (THPS) dan THP Utara Facilities Sdn Bhd (THPUF).

Katanya, ketika ini segmen FM merekodkan pendapatan yang kukuh sekitar RM148.87 juta atau sekitar 30 peratus sumbangan pendapatan kepada keseluruhan kumpulan TH Prop.

"Nilai kontrak semasa segmen FM kumpulan ketika ini sekitar RM1.1 bilion dan dengan pengenalan i-MANS, kami yakin ia dapat menarik lebih banyak kontrak baharu daripada pelanggan berpotensi.

"Segmen ini juga masih banyak ruang yang boleh diteroka, malah di Malaysia tidak banyak penyedia FM yang menggunakan sistem pendigitalan bersepadu dalam operasi pengurusan fasiliti," katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi i-MANS, semalam.

Perisian i-MANS membolehkan penyelarasan dan keupayaan pengesanan yang lebih baik antara pengendali, pelanggan dan vendor.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 1,000 pengguna yang bakal mendapat manfaat daripada i-MANS, yang terdiri daripada lebih 100 latar belakang teknikal dan pengurusan yang pelbagai.

Aplikasi ini pertama kali dibangunkan dan diterima pakai pada 2018, dan melalui banyak penambahbaikan bagi meningkatkan fungsi serta kemudahan penggunaan.

"Kami memperuntukkan pelaburan kira-kira RM5 juta setakat ini bagi menambahbaik dan membangunkan i-MANS.

"Dengan i-MANS yang mesra pengguna, kami mempunyai alat mudah untuk menentukan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan dengan tepat, menyimpan rekod penghantaran dengan daftar masuk berasaskan lokasi serta meminimumkan perbelanjaan yang tidak diperlukan," katanya.

TH Prop ialah anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji, dengan tiga perniagaan teras dalam pembangunan hartanah, pengurusan fasiliti serta pembinaan dan pengurusan projek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 7:42 AM