Menara Bank Islam.
Menara Bank Islam.

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merekodkan Keuntungan Sebelum Cukai dan Zakat Kumpulan (PBZT) berjumlah RM559.6 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2022 (9B2022), menyusut 10.9 peratus atau RM68.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berikutan aktiviti ekonomi bertambah baik, Kumpulan mencatat PBZT sebanyak RM219 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 (S32022).

Ia adalah peningkatan ketara dalam PBZT iaitu 43.3 peratus berbanding suku sama tahun lalu (S32021) yang direkodkan sebanyak RM152.8 juta serta kenaikan 20.9 peratus berbanding RM181.2 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (S22022).

Sebahagian besar daripada pengukuhan ini disumbangkan oleh pendapatan bersih lebih tinggi dan peruntukan bersih lebih rendah untuk pembiayaan dan pendahuluan.

Pembiayaan kasar meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM62.1 bilion, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan berjumlah RM72.3 bilion, dengan kenaikan tahun ke tahun sebanyak RM7.9 bilion atau 12.2 peratus.

Jumlah akaun pelaburan semasa, simpanan dan transaksi (CASATIA) telah meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM26 bilion.

Komposisi ini berada pada paras sihat sebanyak 36 peratus daripada jumlah deposit pelanggan dan akaun

pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, dengan sebahagian besar daripada perniagaan dipacu segmen runcit, BIMB terus memperkukuhkan kekuatan terasnya dengan mengekalkan model pembiayaan pembayaran bercagar, pada masa sama membentuk jalinan kerjasama dengan organisasi-organisasi sasar.

"Dengan menjalankan perniagaan yang bertumpukan pelanggan, BIMB berusaha untuk menyediakan penyelesaian kewangan merentasi pelbagai segmen menerusi saluran edaran Perbankan Runcit dan Perbankan

Kekayaan Premium.

"Aplikasi mudah alih kami, GO by Bank Islam, memperlihatkan pertumbuhan pesat dalam bilangan pengguna dan kami terus memperkenalkan pelbagai fungsi baharu," katanya.

Menurutnya, bagi mempertingkatkan lagi proses operasi perniagaan, BIMB merancang untuk mengoptimumkan pendigitalan dalam menyampaikan perkhidmatan yang mudah dan khusus kepada pelanggan demi meningkatkan pengalaman perbankan mereka.

"Dalam merealisasikan matlamat Kumpulan untuk sentiasa bersedia demi masa hadapan, kami telah memulakan fasa kedua Pelan Tindakan IT empat tahun untuk meningkatkan cara kerja BIMB.

"Langkah itu membolehkan kami mengukuhkan infrastruktur IT dengan berkesan sambil memberi tumpuan kepada peningkatan pengalaman pelanggan dan menyampaikan objektif perniagaan," katanya.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada langkah kemampanan dan komitmen ESG, BIMB sedang mengembangkan portfolio pembiayaan hijau dan meluaskan pendedahannya kepada segmen mesra alam baharu seperti kecekapan tenaga, pemeteran tenaga bersih, automasi pejabat dan pengurusan sisa.

"Sehingga kini, kami telah meluluskan kira-kira RM2.9 bilion dalam pembiayaan hijau untuk projek-projek tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa mampan, pengangkutan awam dan pembuatan hijau.

"Bank Islam telah menetapkan sasaran RM4 bilion untuk meningkatkan portfolio pembiayaan hijaunya menjelang tahun 2025.

"Untuk mencapai matlamat ini, BIMB giat memperkukuhkan segmen pembiayaan iklim dengan membangunkan produk-produk bersasar termasuk pembiayaan terhadap usaha peralihan rendah karbon PKS dan pembiayaan berkaitan ESG untuk syarikat-syarikat korporat yang mengalihkan operasi perniagaannya ke arah rendah karbon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 11:55 AM