TS Dr Salmiah (kanan) bersama Dr Athifah Najwani pada majlis pelancaran produk Lindifera di Aeon Wangsa Maju. - Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH
TS Dr Salmiah (kanan) bersama Dr Athifah Najwani pada majlis pelancaran produk Lindifera di Aeon Wangsa Maju. - Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur: Athanliz Innovations Sdn Bhd (AISB), syarikat pemula dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) melebarkan sayapnya dengan memasuki pasaran runcit Aeon Retail Malaysia menerusi rangkaian produk Lindifera.

Produk Lindifera adalah produk kecantikan yang berasaskan buah mempelam Harumanis Perlis.

Pengarah Urusan AISB, Dr Athifah Najwani Shahidan berkata, pihaknya menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada seluruh pasukan AISB dan UiTM kerana melakar sejarah menjadi produk pertama UiTM yang berjaya menembusi pasaran runcit Aeon.

"Pada masa terdekat ini juga, kami akan turut melancarkan penjenamaan baharu dengan rangkaian produk makanan dan minuman (Mafera) yang mampu dibeli dan dinikmati semua pembeli terutama pelajar.

"Ini kerana ramai yang ingin menikmati keenakan buah Harumanis tetapi kurang berkemampuan kerana harganya yang sangat tinggi, " katanya berucap pada majlis pelancaran produk Lindifera di sini, kelmarin.

Majlis dirasmikan Penolong Naib Canselor, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan 0MED UiTM, Profesor Ts Dr Salmiah Kasolang.

Salmiah berkata, ia berharap lebih ramai lagi pensyarah UiTM yang bakal mengikut jejak langkah ini untuk membuka mata dunia kebolehupayaan tenaga penyelidik tempatan dalam menghasilkan produk inovasi yang bermutu tinggi.

Produk Lindifera kini boleh didapati di Aeon Nilai, Aeon Style Taman Maluri, Aeon Tebrau, Johor Bahru, Aeon Shah Alam, Aeon Wangsa Maju, Aeon Klebang Ipoh dan Aeon Bandaraya Melaka.

Dengan adanya usaha dan inisiatif ini diharapkan dapat memperkembangkan lagi perindustrian pertanian di Perlis.

Selain itu, dapat memberikan sinar harapan kepada petani mempelam harumanis dalam menghasilkan lebih banyak produk inovasi berasaskan buah ikonik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 6:15 AM