Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Tindakan seorang peniaga meletakkan papan tanda ‘Harumanis Burma’ yang mengelirukan mengundang padah selepas diberikan notis amaran oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA).

Pengarah Bahagian Regulatori (Penguatkuasaan) FAMA Malaysia, Sabri Naseh berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap produk Harumanis yang eksklusif di Perlis.

“Peniaga seharusnya jujur dalam berniaga dan sekiranya mereka menjual buah mangga ‘tong dam’ atau mempelam siam, letakkan sahaja papan tanda yang betul.

SABRI  (kiri) menyerahkan surat amaran kepada peniaga.
SABRI (kiri) menyerahkan surat amaran kepada peniaga.

“Bukan mengelirukan pembeli dengan meletakkan papan tanda ‘Harumanis Burma’, ‘Harum Manis Perlis’, ‘Arumanis’ dan sebagainya sehingga pembeli terpedaya,” katanya selepas pemeriksaan di sebuah gerai dalam operasi Penipuan Harumanis di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun di sini, semalam.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis dan Jabatan Pertanian Perlis.

Sabri berkata, pihaknya kesal dengan tindakan peniaga terbabit kerana ia mencalarkan imej Perlis sebagai pengeluar Harumanis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:46 AM