Mohd Faisol Ibrahim
Mohd Faisol Ibrahim
Sri Ayu Kartika Amri dan Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Pencarum yang berhasrat membuat pinjaman bank menggunakan cagaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digalakkan untuk memilih pinjaman Islamik kerana lebih praktikal dan jauh lebih baik berbanding pinjaman bank konvensional.

Pensyarah Kanan Perbankan Islam dan Kewangan di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, pinjaman cagaran secara Islam lebih praktikal dan memenuhi Maqasid Syariah sendiri dengan andaian caj yang dikenakan oleh pihak bank paling minimum.

Katanya, dalam erti kata lain ia tidak membebankan dan menyukarkan mereka untuk membayar balik pinjaman.

"Bagi pencarum yang terdesak khususnya memerlukan wang untuk kesejahteraan hidup, wajar mempertimbangkan pinjaman Islamik kerana jika dilihat dan dibuat perbandingan ternyata pinjaman secara Islam adalah jauh lebih baik.

"Ini kerana pinjaman di dalam Islam hanya berasaskan instrumen Qardhul Hasan iaitu kalau pinjaman sebanyak RM10,000, peminjam hanya perlu bayar kembali RM10,000 serta sedikit kos pengurusan dalam anggaran satu ke dua peratus.

"Perkataan Qardhul Hasan itu sendiri sudah jelas menunjukkan maksud pinjaman yang baik," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pinjaman dalam Islam bersifat caj tetap dan tidak berubah, sebaliknya pinjaman perbankan konvensional berubah-ubah.

Beliau berkata, namun jika dilihat dalam sektor perbankan konvensional, pinjaman merujuk kepada wang yang diberikan kepada peminjam dan mereka akan dikenakan kadar faedah yang tinggi seperti mana pinjaman peribadi dan seumpamanya.

"Sebab itu masyarakat perlu faham konsep pembiayaan dan pinjaman dan kedua-dua konsep ini tidak sama dari segi maksud dan konsep pelaksanaan.

"Institusi perbankan Islam menawarkan konsep pembiayaan dalam produknya dan bukan pinjaman," katanya.

Mohd Faisol berkata, sekiranya skim ini (cagaran wang caruman KWSP) dilaksana dengan menggunakan pendekatan pinjaman Islam, maka ia jauh lebih baik berbanding konvensional kerana ia menepati tuntutan syariah.

Katanya, ia juga mampu memberi jaminan keadilan dalam pinjaman berbentuk cagaran kepada peminjam kerana caj yang mungkin dikenakan adalah paling minimum iaitu mungkin 1.0 peratus saja.

"Rakyat perlu faham bahawa kerajaan juga perlu membuat keputusan dan menguruskan wang dengan cara berhemah supaya kerajaan terus mampan dan rakyat juga sejahtera.

"Dengan membuat pinjaman berbentuk cagaran mampu memberi nafas lega kepada rakyat yang sangat memerlukan duit untuk kelangsungan hidup.

"Namun mereka perlu ingat ini hanya bersifat sementara kerana kerajaan tidak boleh membantu dalam mempengaruhi corak perbelanjaan peminjam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 3:21 PM