GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahanum Abdul Aziz dan Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Risiko kestabilan kewangan berkaitan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) kekal terhad disebabkan skim itu pada separuh kedua 2022 hanya mencakupi 0.05 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

Bank Negara Malaysia (BNM) bagaimanapun berkata, pihaknya menyedari risiko amalan yang ditimbulkan oleh BNPL terhadap pengguna dan telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkannya, terutamanya bagi skim yang ditawarkan oleh entiti dikawal selia oleh bank pusat itu.

"Langkah ini termasuk mewajibkan institusi kewangan berlesen (bank serta institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan) dan pengeluar e-wang yang diluluskan agar mematuhi standard pemberian pinjaman bertanggungjawab sedia ada bagi skim BNPL yang ditawarkan.

"Mereka juga diwajibkan menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan yang lebih menyeluruh sebaik sahaja pelanggan baharu mendaftarkan penyertaan bagi skim itu dengan mengambil kira jumlah dedahan atau peminjaman daripada pemberi pinjaman yang lain," katanya dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022.

BNM berkata, langkah-langkah tambahan akan dikenakan bagi meningkatkan penzahiran maklumat semua fi dan caj yang dikenakan kepada pengguna BNPL.

Ini, katanya termasuk sebarang terma dan syarat yang dikenakan semasa pendaftaran penyertaan bagi skim berkenaan.

Malah, selaras dengan prinsip layanan adil terhadap pengguna kewangan yang dikeluarkan oleh BNM katanya, institusi kewangan berlesen dan pengeluar e-wang yang diluluskan akan diminta untuk menunjukkan bahawa caj pembayaran lewat yang dikenakan terhadap pengguna yang membayar balik tidak mengikut jadual adalah tidak melampau.

"Kementerian Kewangan, BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan terus komited untuk mempercepat pembentangan cadangan Akta Kredit Pengguna (CCA).

"Apabila dilaksanakan kelak, penyedia kredit bukan bank seperti penyedia BNPL akan diwajibkan untuk mematuhi standard kehematan dan amalan yang relevan," katanya.

BNM berkata, langkah CCA itu selain menggalakkan medan persaingan yang sama rata antara bank dengan penyedia BNPL bukan bank, ia juga bertujuan untuk memberikan pengguna kewangan perlindungan pada tahap yang sama berhubung dengan skim BNPL tanpa mengira penyedia yang berurusan dengan mereka.

Usaha ini juga katanya akan membantu mengurangkan risiko pengumpulan jumlah hutang berlebihan dalam kalangan peminjam yang lebih muda dan berpendapatan lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:21 PM